Dewan Perwakilan Rakyat Amerika Syarikat mungkin mengadakan undian untuk mendakwa Presiden Joe Biden menjelang pertengahan September, kata James Comer, pengerusi Jawatankuasa Dewan Pemantauan dan Kebertanggungjawaban, lapor Sputnik.

Awal minggu ini, Ahli Kongres Republikan Marjorie Taylor Greene berkata majoriti ahli Dewan menyokong penyiasatan terhadap Biden untuk melanjutkan proses pendakwaan.

"Saya fikir Dewan akan mengadakan undian pada September. Ini bergantung kepada (Speaker Dewan Rakyat) Kevin McCarthy... tetapi beliau dan saya telah berbincang. Saya meramalkan undian akan berlangsung pertengahan September, dan saya meramalkan ia akan lulus," kata Comer dalam temubual dengan penyiar Newsmax.

Ahli kongres juga menyatakan bahawa penyiasatan rasmi boleh membantu mendapatkan maklumat dari Arkib Kebangsaan dan Pentadbiran Rekod Negara serta Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri, yang didakwa melambatkan penyiasatan dengan menangguhkan penyediaan rekod bank yang diminta keluarga Biden.

Penggunaan nama samaran oleh Biden untuk berkomunikasi dengan anaknya Hunter, mengenai urusan perniagaan asing mungkin telah menjadi pemangkin yang mendorong wakil-wakil untuk meneruskan penyiasatan itu, tambah Comer.

-- BERNAMA