DUNIA
Undian Piala Dunia 2026 diadakan 5 Dis di Washington - Trump
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat mengumumkan bahawa undian peringkat kumpulan Piala Dunia 2026 akan diadakan pada 5 Dis di Washington, lapor agensi berita Jerman dpa.
Ringkasan AI
- Undian peringkat kumpulan Piala Dunia 2026 akan diadakan pada 5 Disember di Kennedy Centre, Washington, seperti diumumkan Presiden AS Donald Trump bersama Presiden FIFA Gianni Infantino.
- Piala Dunia 2026 berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di AS, Mexico dan Kanada, dengan format baharu 48 pasukan dalam 12 kumpulan; 42 pasukan sudah layak, termasuk tuan rumah dan juara bertahan Argentina.
- Acara undian ini pada asalnya dijadual di Las Vegas, dan enam slot terakhir akan ditentukan melalui perlawanan semula pada Mac 2026.
Kejohanan itu diperluas daripada 32 pasukan sebelum ini kepada 48 pasukan yang akan dibahagikan kepada 12 kumpulan.
Undian itu pada asalnya dijadual diadakan di Las Vegas, sama seperti Piala Dunia pertama di AS pada 1994.
Infantino dan Trump dilaporkan mempunyai hubungan rapat, selepas mereka mengadakan sidang media bersama menjelang tamat Piala Dunia Kelab di AS pada Jun lalu dan pada Julai di Trump Tower di New York.
Trump juga hadir ketika majlis penyampaian trofi selepas perlawanan akhir di New Jersey.
Trump menyifatkan Piala Dunia sebagai "acara sukan terbesar" dan mengenai undian itu beliau berkata: "Ia satu penghormatan besar untuk membawa acara global ini, bersama kumpulan luar biasa serta atlet hebat - atlet terbaik dunia - ke pusat budaya ibu negara kita."
Menjelang undian peringkat kumpulan itu, 42 daripada 48 pasukan sudah pun diketahui, manakala enam pasukan lagi akan ditentukan melalui perlawanan semula pada Mac tahun depan.
Sementara itu, tempat bagi enam pasukan tersebut akan diisi sebagai pemegang tempat ketika undian berlangsung.
Tiga negara tuan rumah - AS, Mexico dan Kanada - layak secara automatik, manakala 10 pasukan sudah layak: juara bertahan Argentina, Australia, juara terbanyak Brazil, Ecuador, Iran, Jepun, Jordan, New Zealand, Korea Selatan dan Uzbekistan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami