Skip to main content
Advertisement

Dunia

Universiti di Gaza mohon sokongan global untuk makmal maya, pembelajaran dalam talian

Presiden Universiti Gaza Prof Hassan AbuJarad berkata pihak universiti menggunakan apa sahaja baki bangunan yang ada untuk meneruskan sesi pengajian. - Foto REUTERS
Presiden Universiti Gaza Prof Hassan AbuJarad berkata pihak universiti menggunakan apa sahaja baki bangunan yang ada untuk meneruskan sesi pengajian. - Foto REUTERS

Advertisement

KUALA LUMPUR: Universiti di Gaza memohon sokongan antarabangsa bagi membangunkan makmal maya serta meluaskan pembelajaran dalam talian susulan kemusnahan meluas infrastruktur pendidikan yang menjejaskan latihan praktikal pelajar bidang perubatan dan kejuruteraan.

Presiden Universiti Gaza Prof Hassan AbuJarad berkata pihak universiti menggunakan apa sahaja baki bangunan yang ada untuk meneruskan sesi pengajian, namun kehilangan kemudahan makmal serta sekatan terhadap kemasukan peralatan ke Gaza telah menjejaskan pembelajaran praktikal secara serius.

“Kami menyeru kepada universiti rakan di seluruh dunia supaya membekalkan teknologi terbaik untuk pendidikan dalam talian dan makmal maya kepada kami.

Kami memerlukan makmal maya kerana pihak Israel tidak membenarkan komputer riba mahupun apa jua jenis peralatan dibawa masuk ke Gaza. Kami ingin setiap pihak membantu kami menjalankan program dalam talian ini supaya guru dan pelajar kami di semua peringkat mendapat apa yang mereka pendidikan yang perlukan menerusi pendidikan,” katanya dalam temu bual secara langsung dari khemah penempatan sementara beliau di sana menerusi program Bernama World terbitan Bernama TV.

AbuJarad berkata akses yang lebih besar kepada teknologi digital akan membolehkan pensyarah meneruskan pengajaran dan berkongsi bahan pendidikan dengan pelajar walaupun kemudahan universiti mengalami kerosakan.

Satu penilaian Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang diterbitkan pada November 2025 mendapati 620 makmal serta kemudahan khusus di seluruh institusi pengajian tinggi Gaza telah musnah atau rosak teruk, manakala 95 peratus kampus yang dinilai turut terjejas.

Sementara itu, AbuJarad berkata bantuan antarabangsa yang lebih luas juga diperlukan bagi menyokong sektor pendidikan Gaza di tengah-tengah kemusnahan meluas dan kekurangan sumber asas.

“Kami memerlukan hampir segala-galanya untuk terus bertahan, dan perkara paling penting ialah kami memerlukan negara serta komuniti rakan di seluruh dunia untuk berdiri di samping kami.

Kami tekad untuk kekal di tanah air kami, kami tekad untuk meneruskan pendidikan kami, kami tekad untuk memperjuangkan hak asasi kami terhadap pendidikan dan menjadi sebahagian penting daripada tamadun ini,” katanya.

Pada 19 Sept, Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Palestin mengumumkan permulaan tahun akademik baharu di Semenanjung Gaza di bawah keadaan luar biasa berikutan gangguan selama tiga tahun akibat konflik.

Kira-kira 541,000 pelajar dijangka menyertai tahun akademik baharu itu, termasuk sekitar 100,000 yang mendaftar di sekolah-sekolah kendalian Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement