INTERNATIONAL
UNSC: Wakil Palestin ke PBB hentak meja, cerita derita kanak-kanak Gaza

Mansour menghentak meja dan terhenti seketika apabila beliau tidak dapat menahan tangisan. - Foto REUTERS
NEW YORK: Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour, tidak dapat menahan sebak ketika menyampaikan ucapan di Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada Rabu, apabila beliau menceritakan penderitaan yang dialami kanak-kanak Palestin dalam konflik berterusan di Gaza.
Dalam ucapan penuh emosi itu, Mansour berkongsi kisah Dr. Alaa al-Najjar, seorang doktor warga Palestin yang kehilangan sembilan daripada 10 orang anaknya.
Tambah pilu, anak-anak Dr Alaa dibawa ke hospital tempat beliau bertugas dalam keadaan sudah tidak bernyawa dan rentung.
“Ini adalah satu kengerian dan trauma yang tidak dapat difahami oleh akal, dan tidak tertanggung oleh hati,” katanya.
Mansour memaklumkan kepada UNSC bahawa lebih 1,300 kanak-kanak Palestin telah terbunuh dan kira-kira 4,000 lagi cedera sejak Israel menyambung semula operasi ketenteraan di Gaza susulan kegagalan gencatan senjata pada bulan Mac.
“Mereka ini adalah kanak-kanak. Kanak-kanak... Kanak-kanak!” katanya dalam nada sebak bercampur marah.
“Puluhan kanak-kanak mati akibat kebuluran. Imej ibu-ibu yang memeluk tubuh anak mereka yang kaku, membelai rambut mereka, bercakap dengan mereka, memohon maaf kepada mereka — amat menyayat hati.”
Pada satu ketika, Mansour menghentak meja dan terhenti seketika apabila beliau tidak dapat menahan tangisan.
“Saya mempunyai cucu. Saya tahu betapa berharganya mereka kepada keluarga masing-masing dan melihat keadaan ini menimpa rakyat Palestin tanpa kita mempunyai hati untuk bertindak, adalah sesuatu yang tidak mampu ditanggung oleh mana-mana insan yang waras.”
Ucapan menyayat hati itu turut disaksikan oleh wakil Israel ke PBB.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami