KAJIAN baharu mendapati usaha membabitkan isu perubahan iklim semakin berkembang merentas sektor awam dan swasta, tetapi lebih banyak perlu dilakukan untuk memenuhi cabaran karbon sifar bersih.

Pada 2019, hanya 10 peratus daripada pelepasan karbon global dilindungi oleh ikrar kerajaan 29 negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih.

Hari ini, 92 negara yang mewakili 78 peratus daripada pelepasan karbon global telah membuat komitmen sifar bersih di peringkat nasional.

Tahun lalu, tindakan korporat telah dipercepatkan, tetapi lebih banyak perlu dilakukan. Hanya 20 peratus daripada syarikat mendedahkan pelepasan rantaian nilai penuh mereka dan mempunyai sasaran pengurangan pelepasan, dan hanya 9 peratus daripada syarikat mencapai pengurangan pelepasan sebenar selaras dengan matlamat 1.5°C Perjanjian Paris.

Winning the Race to Net-Zero, kajian yang ditulis dengan kerjasama Boston Consulting Group, menggariskan cara perniagaan boleh menutup jurang pelepasan, menterjemah sasaran ke dalam pelan hala tuju dan memastikan perniagaan mereka menyesuaikan diri dan kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi yang berubah-ubah.

Kajiaan berdasarkan pandangan industri, temu bual dengan CEO dan analisis data korporat itu mendapati bahawa pemimpin iklim boleh menarik dan mengekalkan bakat yang lebih baik, merealisasikan pertumbuhan yang lebih tinggi, menjimatkan kos, mengelakkan risiko pengawalseliaan, mengakses modal yang lebih murah dan mencipta sumber nilai baharu untuk pelanggan.

Laporan itu mendapati separuh daripada pencari kerja mengutamakan kemampanan; alternatif hijau kepada produk tradisional semakin mendapat momentum; dan secara purata syarikat boleh mengurangkan lebih kurang 50 peratus daripada pelepasan mereka tanpa kos bersih merentas sektor utama.

Secara khususnya, hampir semua syarikat boleh mengurangkan pelepasan karbon mereka sebanyak 30 peratus pada kos sifar bersih kepada perniagaan mereka dan sesetengah syarikat berjaya hampir sepenuhnya menyahkarbon pada kos sifar bersih.

“Perubahan berlaku lebih pantas daripada yang disedari kebanyakan oran dan syarikat. Sebagai contoh, ramalan untuk kapasiti PV solar pada 2030 telah meningkat sebanyak 36 faktor antara 2002 dan 2020 manakala kos unit yang diunjurkan menurun sebanyak tiga faktor.

"Syarikat yang memandang rendah kadar dan magnitud perubahan seperti ini berisiko tersalah menilai kesan perubahan iklim terhadap model perniagaan, produk dan nilai syarikat,” kata Patrick Herhold, Pengarah Urusan dan rakan kongsi Pusat Iklim dan Kelestarian BCG.

Laporan terperinci itu turut menyediakan kajian kes tentang pembiayaan hutang baharu, mengurangkan pendedahan risiko dan model perniagaan baharu arus perdana.

Ia juga menyerlahkan kadar penyahkarbonan penuh akan memberi kesan kepada harga akhir produk untuk pengguna. Harga untuk produk makanan dan fesyen akan menyaksikan kenaikan kurang daripada 1 euro pada bakul beli-belah mereka. Kos purata telefon pintar akan meningkat kurang daripada 3 euro.