INTERNATIONAL
Usaha sambung gencatan senjata: Mesir hantar cadangan baharu kepada Israel dan Hamas

Pasukan Israel telah melancarkan operasi darat di seluruh bahagian selatan, utara dan tengah Gaza. - Reuters
KAHERAH: Mesir mengemukakan cadangan baharu kepada Israel dan Hamas bagi memulihkan perjanjian gencatan senjata di Gaza, kata dua sumber keselamatan Mesir kepada Xinhua pada Isnin.
"Mesir menghantar cadangan segera pada Ahad malam kepada pihak yang bertelagah untuk menamatkan perang dan menyambung semula rundingan bagi peringkat kedua perjanjian gencatan senjata awal," dedah sumber itu yang enggan dikenali.
Menurut cadangan baharu itu, "Hamas akan membebaskan lima tebusan Israel yang masih hidup, termasuk seorang askar Israel-Amerika, sebagai pertukaran bagi gencatan senjata di Gaza selama 40 hari untuk membuka laluan kepada rundingan peringkat kedua," tambah sumber berkenaan.
Hamas segera bersetuju dengan cadangan baharu Mesir, menurut sumber tersebut, tanpa menyatakan sama ada Israel telah memberikan maklum balas.Israel menyambung semula serangan di Gaza pada 18 Mac selepas perjanjian gencatan senjata dengan Hamas yang bermula pada 19 Jan terbatal. Pasukan Israel kemudiannya melancarkan operasi darat di seluruh bahagian selatan, utara dan tengah Gaza. Angka korban akibat peningkatan keganasan itu telah melebihi 730 orang, menjadikan jumlah kematian kepada 50,082 sejak perang bermula pada 7 Okt 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza pada Isnin.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami