DUNIA
USAID hentikan program bantuan luar berkuat kuasa 1 Julai - Rubio

Rubio berhujah bahawa "model berasaskan amal" telah gagal kerana pemimpin negara membangun menjadi bergantung kepada bantuan AS. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) akan menghentikan program bantuan luar negaranya berkuat kuasa 1 Julai ketika pentadbiran Trump berusaha membentuk hubungan saling memanfaatkan dengan negara-negara lain di seluruh dunia, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pada Selasa.
"Mulai 1 Julai, USAID secara rasmi akan menghentikan pelaksanaan bantuan luar. Program bantuan luar yang selaras dengan dasar pentadbiran - dan yang memajukan kepentingan Amerika - akan ditadbir oleh Jabatan Negara, dengan pelaksanaan yang lebih bertanggungjawab, strategik dan cekap," tulis Rubio dalam catatan di Substack.
Rubio berhujah bahawa "model berasaskan amal" telah gagal kerana pemimpin negara membangun menjadi bergantung kepada bantuan AS.
Beliau turut menyatakan, Washington kini akan memberi tumpuan kepada perdagangan dan bukannya bantuan dalam hubungan dengan rakan luar negara, dengan menekankan pelaburan berbanding bantuan."Rakyat Amerika tidak sepatutnya membayar cukai untuk membiayai kerajaan gagal di negara jauh. Mulai sekarang, bantuan kita akan disasarkan dan terhad kepada tempoh tertentu.
"Kita akan mengutamakan negara yang telah menunjukkan keupayaan dan kesediaan untuk membantu diri mereka sendiri, dan akan menumpukan sumber kepada bidang yang boleh memberi kesan berganda serta menjadi pemangkin pelaburan sektor swasta yang mampan, termasuk syarikat Amerika, dan pelaburan global," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami