Skip to main content

Dunia

Utusan Trump ke Switzerland, rundingan AS-Iran cuba dihidupkan semula

FILE PHOTO: U.S. Vice President JD Vance speaks during a news conference after meeting with representatives from Pakistan and Iran as Jared Kushner and Steve Witkoff, Special Envoy for Peace Missions, listen, on Sunday, April 12, 2026, in Islamabad, Pakistan. Jacquelyn Martin/Pool via REUTERS/File Photo
Steve Witkoff (kanan) dan Jared Kushner dilaporkan dalam perjalanan ke Switzerland bagi menyertai rundingan yang berpotensi berlangsung. - Gambar Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Utusan khas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Steve Witkoff, dilaporkan dalam perjalanan ke Switzerland, menurut seorang pegawai AS, ketika Washington dan Tehran berusaha menghidupkan semula rundingan teknikal yang sebelum ini tergendala.

Menantu Trump, Jared Kushner, turut dijangka berada di negara itu bagi menyertai rundingan yang berpotensi berlangsung.

Bagaimanapun, masa sebenar rundingan tersebut masih belum dapat dipastikan.

Pusingan seterusnya yang dijadualkan bermula pada Jumaat sebelum ini dibatalkan secara tiba-tiba susulan peningkatan keganasan antara Israel dan Hezbollah.

Witkoff dan Kushner sebelum ini mengetuai rundingan dengan Iran yang membawa kepada pemeteraian memorandum persefahaman awal antara kedua-dua pihak.

Dalam perkembangan sama, Naib Presiden AS, JD Vance, turut bersedia untuk berlepas bagi menyertai rundingan pada “kesempatan pertama,” menurut kenyataan White House pada Khamis.

Ketegangan serantau jadi cabaran

Penangguhan rundingan berkenaan mencerminkan betapa rapuhnya usaha diplomatik antara AS dan Iran, yang turut dipengaruhi perkembangan keselamatan di Asia Barat, khususnya konflik melibatkan Israel dan kumpulan bersenjata Hezbollah di Lubnan.

Peningkatan serangan antara kedua-dua pihak sebelum ini telah menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan rantau berkenaan dan berpotensi menggagalkan kemajuan rundingan yang cuba dicapai antara Washington dan Tehran.

Sehubungan itu, sebarang perkembangan keselamatan di rantau berkenaan dijangka terus menjadi faktor penentu kepada kelangsungan rundingan damai antara kedua-dua negara. - Agensi

 

Must Watch Video

Advertisement