AMERIKA Syarikat akan memberikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun mulai minggu ini.

White House bagaimanapun berkata, kebanyakan daripada 15 juta suntikan yang dihantar akan hanya diperolehi mulai minggu depan.

Jutaan dos yang dirumuskan khusus untuk kanak-kanak dalam kumpulan umur itu akan mula tiba di pusat pengedaran vaksin dalam beberapa hari akan datang.

Penyelaras tindak balas koronavirus White House, Jeff Zients berkata, kerajaan persekutuan telah membeli bekalan yang mencukupi untuk semua 28 juta kanak-kanak yang layak.

Kata Zients, pihaknya bersedia melaksanakannya sementara menunggu keputusan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Jelasnya, mulai 8 November, program vaksinasi untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun akan dimulakan.

COVID-19 | Vaksin kanak-kanak 5-11 tahun mula diberikan minggu depan

BACA: Vaksin COVID-19: FDA lulus penggunaan Pfizer untuk kanak-kanak 5-11 tahun

BACA: Vaksin COVID-19: Kanak-kanak 5-12 tahun akan diberi suntikan Pfizer - KJ

Jumaat lalu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) meluluskan vaksin koronavirus Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

CDC masih perlu memberi nasihat tentang cara dos itu harus diberikan, yang akan diputuskan selepas kumpulan penasihat luar membincangkan perkara itu pada Selasa.