PENTADBIRAN Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA), memberi kelulusan penuh kepada vaksin COVID-19, Moderna.

Vaksin berkenaan sudah diberikan kepada puluhan juta rakyat Amerika Syarikat sejak ia diberi kelulusan kecemasan setahun lalu.

Kelulusan itu bermakna agensi itu telah menyelesaikan semakan ketat serta mengambil masa yang lama ke atas vaksin Moderna.

Keputusan itu turut disokong oleh bukti nyata daripada lebih 200 juta dos vaksin yang diberikan di Amerika Syarikat sejak FDA memberikan kelulusan pada Disember 2020.

FDA mula memberi kelulusan kecemasan vaksin Moderna berdasarkan kajian ke atas 44,000 orang berumur 18 tahun ke atas bagi tempoh dua bulan - untuk mengenalpasti kesan sampingan yang serius.

Untuk rekod, vaksin Pfizer turut diberikan kelulusan penuh pada Ogos tahun lalu.

Pakar kesihatan berharap dengan kelulusan ini ia mampu untuk meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap suntikan vaksin.

Namun berdasarkan kepada kelulusan penuh Pfizer sebelum ini, tiada peningkatan ketara bagi individu untuk mendapatkan vaksin tersebut.

Lebih daripada 211 juta rakyat Amerika Syarikat atau 63 peratus daripada penduduk sudah divaksin sepenuhnya.

Kira-kira 86 juta orang pula sudah mendapatkan dos penggalak.