DOS ketiga vaksin COVID-19 daripada Pfizer-BioNTech menghasilkan perlindungan ketara terhadap varian Omicron pada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Perkara itu disahkan Pfizer berdasarkan analisis serum darah 30 peserta pediatrik yang menerima dos penggalak menunjukkan peningkatan 36 kali ganda dalam antibodi peneutral Omicron.

Antibodi yang meneutralkan terhadap versi asal virus yang direka bentuk vaksin meningkat enam kali ganda selepas suntikan penggalak.

Syarikat itu berkata, mereka merancang untuk memohon kebenaran penggunaan kecemasan Amerika Syarikat bagi dos penggalak untuk kumpulan umur itu dalam beberapa hari akan datang.

Ini termasuk kepada Agensi Kawal Selia Global termasuk Agensi Ubat Eropah.

Kajian peringkat pertengahan hingga akhir menguji keselamatan dos penggalak 10 mikrogram dalam 140 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

Menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, hanya 28 peratus kanak-kanak telah divaksin sepenuhnya.

Justeru itu tidak jelas berapa banyak permintaan yang ada untuk dos penggalak bagi kumpulan umur tersebut.

Awal tahun ini, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat meluluskan dos ketiga vaksin untuk kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun dan mereka berumur 5 hingga 11 tahun yang mengalami gangguan imunisasi.