SYARIKAT farmaseutikal Pfizer dan BioNTech dijangka mengemukakan permohonan kelulusan penggunaan kecemasan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berumur enam bulan hingga lima tahun kepada Jabatan Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat pada Selasa.

Memetik laporan Washington Post, bekalan dos vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak bawah usia lima tahun itu dijangka siap menjelang akhir bulan ini.

Laporan itu menyatakan bahawa FDA menggesa syarikat-syarikat untuk menghantar permohonan supaya pihak berkuasa boleh memulakan semakan data vaksin dua dos itu.

“Sekiranya data dalam permohonan itu didapati kukuh, kanak-kanak boleh bermula dengan pemberian utama beberapa bulan lebih awal berbanding tanpa sebarang permohonan sehingga terkumpul data mengenai dos ketiga,” menurut sumber yang dipetik dalam laporan itu.

Bagaimanapun, Pfizer, BioNTech dan FDA belum memberi maklum balas kepada pertanyaan Reuters mengenai laporan tersebut.

Pada Januari, Pfizer berkata ia menjangkakan keputusan terkini daripada ujian klinikal untuk kanak-kanak bawah lima tahun menjelang April depan.