INTERNATIONAL
Venice naikkan bayaran masuk harian kepada EUR10

Pelawat perlu mendapatkan kod respon pantas secara dalam talian sebelum ketibaan dan memuat turunnya ke telefon mudah alih. - Foto hiasan/AP
ROM: Pelawat yang ingin memasuki bandar Venice di Itali untuk lawatan harian perlu membayar bayaran masuk sehingga EUR10 (US$11.37) mulai Jumaat, iaitu dua kali ganda daripada kadar ketika skim itu diperkenalkan tahun lepas, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Bayaran itu dikenakan setiap hari sehingga hujung minggu pertama Mei, dan kemudian pada setiap hujung minggu (Jumaat hingga Ahad) sehingga akhir Julai. Secara keseluruhan, bayaran akan dikenakan pada 54 hari tahun ini - hampir dua kali ganda berbanding tahun lepas.
Pelawat perlu mendapatkan kod respon pantas secara dalam talian sebelum ketibaan dan memuat turunnya ke telefon mudah alih.
Pada 2024, Venice menjadi bandar pertama di dunia yang mengenakan bayaran masuk kepada pelawat jangka pendek, seumpama lawatan ke muzium.Mereka yang masuk tanpa tiket boleh dikenakan denda sehingga EUR300.
Sistem ini secara umumnya masih sama seperti tahun lepas, namun kekerapan dan kadar bayaran kini meningkat. Pelawat yang membuat tempahan awal hanya perlu membayar EUR5, manakala pelawat saat akhir akan dikenakan bayaran EUR10.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami