HANOI: Pihak berkuasa Vietnam mengeluarkan amaran kepada 56,240 pemilik bot dan 249,184 individu mengenai perkembangan terkini serta laluan dijangka dilalui Taufan Maysak, bagi membantu mereka mengelakkan kawasan perairan berbahaya dan berpindah ke lokasi yang lebih selamat, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Benteng Vietnam pada Jumaat, lapor Xinhua.
Taufan Maysak dijangka bergerak menuju ke perairan di luar pantai utara Vietnam dan menjejaskan kawasan timur laut negara itu dalam beberapa hari akan datang, menurut Pusat Ramalan Hidrometeorologi Kebangsaan.
Wilayah Quang Ninh di utara Vietnam melarang semua bot keluar ke laut mulai tengah hari Jumaat, manakala wilayah Ninh Binh turut menguatkuasakan larangan yang sama bermula 2 petang pada hari yang sama.
Pusat itu turut memberi amaran bahawa sungai di seluruh kawasan timur laut Vietnam berisiko mengalami banjir bermula Sabtu hingga Selasa depan.
Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), Kementerian Pertanian dan Alam Sekitar mengarahkan pihak berkuasa tempatan di Quang Ninh, Hai Phong, Hung Yen, Ninh Binh dan Thanh Hoa supaya mengambil langkah melindungi sistem benteng daripada kesan taufan, hujan lebat dan banjir yang dijangka berlaku susulan bencana itu.
-- BERNAMA-XINHUA