Skip to main content

Dunia

Wanita disyaki dalang serangan bom di Monaco ditemukan maut di Ukraine

Anastasiia Berezovska, a 39-year-old woman from Ukraine, who has been named as a suspect in connection with a blast which injured three people in Monaco on Monday, walks in this undated handout image obtained by Reuters on July 3, 2026. Monaco prosecutor/Handout via REUTERS THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. NO RESALES. NO ARCHIVES. BEST QUALITY AVAILABLE.
Berezovska, warga Ukraine yang dinamakan sebagai suspek dalam letupan bom di Monaco yang mengakibatkan tiga individu cedera. - Foto REUTERS
Advertisement

KYIV: Seorang wanita Ukraine yang disyaki mendalangi serangan bom bungkusan di Monaco yang mencederakan seorang jutawan kelahiran Ukraine serta keluarganya ditemukan mati dengan kesan tembakan di kepala di sebuah hutan di wilayah Kyiv, menurut Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU).

Mayat Anastasiia Berezovska, 39, ditemukan tertanam di kawasan hutan selepas pihak berkuasa melancarkan siasatan susulan serangan yang berlaku di Monaco pada 29 Jun lalu.

SBU memaklumkan dua individu, termasuk seorang pegawai yang masih berkhidmat dengan Direktorat Perisikan Utama Ukraine di bawah Kementerian Pertahanan, telah didakwa berhubung pembunuhan Berezovska.

Menurut SBU, Berezovska tiba di Ukraine pada 1 Julai, dua hari selepas serangan bom tersebut.

Dua hari kemudian, dia dipercayai menaiki sebuah kenderaan bersama dua suspek di wilayah Kyiv sebelum dibunuh.

Siasatan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan pernah menyalurkan wang ke akaun bank dan mata wang kripto milik Berezovska, sekali gus menyebabkan mereka turut disiasat sebagai kemungkinan bersubahat dalam serangan di Monaco.

SBU berkata, pegawai perisikan terbabit mengaku membunuh Berezovska bersama seorang lagi suspek.

Kedua-duanya kini didakwa atas pertuduhan membunuh secara sengaja yang dilakukan secara berkomplot.

Dalam serbuan ke atas rumah bekas pegawai penguat kuasa itu di wilayah Kyiv, penyiasat turut menemukan sebuah bilik bawah tanah yang menyerupai bilik penyeksaan.

Bagaimanapun, Pejabat Pendakwa Raya Ukraine menjelaskan tiada bukti yang mengaitkan bilik berkenaan dengan kes pembunuhan Berezovska, sebaliknya ia hanya mencerminkan profil salah seorang suspek.

Serangan bom di Monaco berlaku apabila satu bungkusan meletup sebaik mangsa memasuki lobi sebuah bangunan kediaman pada 29 Jun, menyebabkan tiga individu cedera, termasuk dua yang dilaporkan parah.

Timbalan Pendakwa Raya Monaco, Morgan Raymond, berkata Berezovska dipercayai melakukan tinjauan di kawasan kediaman itu selama beberapa hari sebelum menyamar sebagai lelaki ketika melancarkan serangan.

Sebelum mayatnya ditemukan, pihak berkuasa Monaco percaya Berezovska melarikan diri ke Itali sebelum menuju ke Jerman.

Polis Jerman turut menyerbu sebuah apartmen di negeri Hesse yang dipercayai disewanya.

Polis Antarabangsa (Interpol) sebelum ini mengeluarkan notis merah terhadap Berezovska atas kesalahan cubaan membunuh, meletakkan bahan letupan di tempat awam dan berkomplot melakukan jenayah.

SBU memaklumkan semua maklumat berkaitan siasatan telah dikongsi dengan pihak berkuasa Monaco, manakala usaha mengenal pasti individu lain yang mungkin terbabit dalam serangan itu masih diteruskan.

Walaupun pihak berkuasa Monaco tidak mendedahkan identiti mangsa, media tempatan melaporkan sasaran serangan ialah jutawan hartanah kelahiran Ukraine, Vadym Yermolaiev, pasangan beliau dan anak lelakinya yang berusia 13 tahun.

Yermolaiev, yang memiliki kewarganegaraan Cyprus selepas melepaskan kerakyatan Ukraine pada 2019, dikenakan sekatan oleh kerajaan Ukraine sejak 2023 berhubung kepentingan perniagaannya di Crimea, wilayah yang diilhakkan secara haram oleh Rusia pada 2014.
 

 

Must Watch Video

Advertisement