Wanita Thailand ditemukan masih hidup dalam keranda sebelum dibawa untuk dibakar

Anggota pasukan penyelamat membawa seorang wanita warga emas yang ditemui masih hidup selepas disangka meninggal dunia ke hospital berdekatan, sebelum upacara pembakaran mayat di Kuil Wat Rat Prakhong Tham, Nonthaburi, Thailand. - Gambar AP
BANGKOK: Seorang wanita di Thailand mengejutkan kakitangan kuil apabila dia mula bergerak di dalam keranda selepas dibawa untuk upacara pembakaran mayat.
Insiden berlaku di Wat Rat Prakhong Tham, sebuah kuil Buddha di wilayah Nonthaburi, pinggir Bangkok.
Video yang dimuat naik di Facebook kuil tersebut menunjukkan wanita berusia 65 tahun itu berbaring dalam keranda di belakang sebuah trak pikap, sambil menggerakkan tangan dan kepalanya perlahan-lahan.
Pengurus hal ehwal kuil, Pairat Soodthoop berkata, wanita itu dibawa oleh abangnya dari wilayah Phitsanulok untuk dibakar selepas disangka meninggal dunia dua hari lalu.
“Kami terdengar ketukan perlahan dari keranda. Apabila keranda dibuka, dia dilihat membuka mata dan terus mengetuk sisi keranda. Dia mungkin sudah lama cuba menarik perhatian,” katanya.
Menurut Pairat, wanita itu terlantar sakit selama dua tahun dan disangka berhenti bernafas.
Abangnya kemudian meletakkan wanita itu dalam keranda dan memandu sejauh 500 kilometer ke Bangkok kerana wanita itu pernah menyatakan hasrat untuk mendermakan organ.
Bagaimanapun, hospital menolak kerana tiada sijil kematian.
Abangnya kemudian ke kuil berkenaan yang menawarkan khidmat pembakaran percuma, tetapi turut ditolak atas sebab sama.
Ketika Pairat menerangkan prosedur mendapatkan sijil kematian, mereka terdengar ketukan dari keranda.
Wanita itu kemudian dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan.
Pihak kuil memaklumkan akan menanggung kos perubatan wanita berkenaan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


