INTERNATIONAL
Warga emas maut dipanah petir ketika menunggang motosikal

Seorang warga emas maut disambar petir ketika menunggang motosikal beroda tiga menuju ke ladang tebunya. - Foto Sinar Harian/Agensi
BURIRAM: Seorang warga emas maut disambar petir ketika menunggang motosikal beroda tiga menuju ke ladang tebunya pada awal pagi, 3 Mei lalu.
Mangsa, Amnat Tentiram, 61, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian yang berlaku sekitar jam 8 pagi di wilayah Buriram, Thailand.
Menurut laporan Pegawai Penyiasat dari Balai Polis Ban Dan, Mejar Polis Niyom Thuamthaisong, pihaknya menerima maklumat daripada Hospital Ban Dan berhubung kejadian itu dan segera ke lokasi bersama pasukan penyelamat perbandaran.
Di tempat kejadian, mangsa ditemui terbaring di atas motosikal dengan kedua-dua kakinya masih berada di atas tempat duduk, menunjukkan beliau disambar petir ketika masih menunggang.Terdapat kesan lecur pada bahagian telinga kiri dan badan mangsa, selain pakaian yang turut terbakar.
Manakala motosikal tersebut hanya mengalami kerosakan kecil.
Pihak berkuasa menganggarkan mangsa disambar petir kira-kira sejam sebelum ditemui meninggal dunia.
Isteri mangsa, Farung, 53, berkata beliau telah meminta suaminya supaya tidak keluar kerana hujan lebat pada malam sebelumnya dan keadaan langit masih gelap serta renyai.
"Namun, dia kata hujan tak lebat dan tetap nak pergi. Tak lama kemudian, jiran datang beritahu suami kena petir.
"Memang rutin suaminya untuk keluar setiap pagi dan memeriksa tanaman," jelasnya.
Menurut Farung lagi, suaminya hanya membawa telefon bimbit ketika keluar rumah dan beliau tidak pasti sebab suaminya disambar petir. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami