NICOSIA: Seorang lelaki warga Israel ditahan di Cyprus Utara pada 19 Mei lalu selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan embrio secara haram, menurut pihak berkuasa tempatan.
Suspek ditahan di Lapangan Terbang Ercan ketika cuba meninggalkan negara itu menuju Mexico melalui Istanbul, sebelum pihak berkuasa menemui sebuah bekas khas bertanda 'Life Parcel' yang mengandungi empat embrio disimpan dalam tabung uji.
Menurut siasatan awal, embrio berkenaan dipercayai diambil dari sebuah pusat kesuburan di Cyprus utara tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan tempatan untuk dibawa keluar dari negara itu.
Selain suspek utama, pihak berkuasa turut menahan dua individu warga Turkiye iaitu pengarah klinik dan seorang doktor selepas serbuan dilakukan di fasiliti perubatan berkenaan.
Ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat dalam cubaan mengeluarkan bahan genetik manusia tanpa permit sah, selain disyaki melanggar undang-undang berkaitan pemindahan tisu dan sel manusia.
Mahkamah kemudian membenarkan lanjutan tahanan selama satu hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan termasuk pengumpulan keterangan saksi dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Pihak berkuasa turut menyiasat kemungkinan rangkaian sindiket rentas negara yang dipercayai melibatkan laluan transit melalui beberapa negara sebelum dihantar ke destinasi akhir.
Kes ini kini menjadi tumpuan kerana membabitkan isu sensitif berkaitan teknologi pembiakan bantuan (IVF) dan pemindahan bahan genetik manusia yang dikawal ketat di peringkat antarabangsa. - Sinar memetik agensi