ADEN: Seorang wartawan terbunuh pada Ahad ketika membuat liputan mengenai pertempuran antara tentera kerajaan Yaman dan pemberontak Houthi di barat laut Yaman.

Mervan Yusuf meninggal dunia ketika bertugas di daerah Harad di wilayah Hajjah, menurut Timbalan Menteri Penerangan Abdul Basit al-Qaidi melalui ciapan Twitter.

Al-Qaidi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Yusuf, lapor Anadolu.

Houthi masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kejadian itu.

Tentera Yaman mengumumkan pada Sabtu bahawa daerah Harad telah dikepung pasukan tentera, sebagai sebahagian daripada strategi pertempuran dengan Houthi.

Harad dikuasai pemberontak Houthi kerana lokasinya antara paling strategik di Yaman.

Daerah ini juga merupakan lokasi penting bagi pelabuhan darat yang dikendalikan oleh Arab Saudi.

Gabungan ketenteraan diketuai Arab Saudi telah memerangi Houthi sejak 2015, setahun selepas pemberontakan bersekutu Iran menguasai sebahagian besar Yaman, termasuk ibu negeri Sanaa.

Konflik selama tujuh tahun itu telah mewujudkan krisis kemanusiaan antara paling teruk di dunia, dengan hampir 80 peratus negaranya, atau kira-kira 30 juta rakyatnya memerlukan bantuan dan perlindungan.

Lebih 13 juta orang di Yaman berada dalam kebuluran, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

-- BERNAMA