WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menggesa Israel supaya ‘mempercepatkan operasi di Gaza’ selepas komuniti antarabangsa terus mengecam tindakan zalim Zionis di wilayah itu.

The Economist melaporkan, Washington menggesa Israel supaya menamatkan perang sekurang-kurangnya menjelang hujung tahun ini atau berdepan tiada lagi sokongan dari negara itu.

Kecaman masyarakat antarabangsa mengenai perang di Gaza semakin marak sejak sembilan minggu lalu.

Sejumlah pemimpin dunia turut menzahirkan rasa marah dan kecewa dengan situasi di Gaza angkara serangan bertalu-talu oleh tentera Zionis.

Sikap membuta tuli Israel itu akhirnya mencetuskan rasa kurang senang kepada Washington dan laporan itu menjelaskan kesabaran AS semakin menipis dalam sokongannya kepada Zionis.

Memetik sumber yang tidak didedahkan, laporan itu menyatakan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken mengeluarkan amaran kepada Israel ketika berkunjung ke negara haram itu, baru-baru ini.

Amaran itu antara lain, mendesak Israel supaya menghentikan perang menjelang hujung tahun ini atau Washington tidak lagi menyokong negara haram itu.

Namun, laporan itu tidak menyebut sama ada kedua-dua negara sudah bersetuju atau tidak berhubung perkara berkenaan.

Blinken sebelum ini berulang kali menegaskan Israel sudah berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan kematian penduduk awam di Gaza.

Namun, kenyataan beliau mendapat kecaman dunia apabila tentera Zionis sebenarnya langsung tidak mengendahkan penduduk awam yang terkorban kerana niat mereka sememangnya mahu menghapuskan populasi Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 18,608 penduduk Palestin terbunuh dan hampir 50,594 cedera sejak perang meletus pada 7 Oktober lalu.

Kebanyakan mangsa yang terkorban adalah golongan wanita dan kanak-kanak.