WEF2026: AI tiada guna kalau tidak disebar kepada semua lapisan masyarakat - Satya Nadella

Nadella (kanan) berkata tumpuan global kini perlu beralih daripada kekaguman terhadap AI sebagai teknologi abstrak kepada penggunaan praktikal yang memberi kesan nyata kepada kehidupan manusia. - Gambar/ WEF
DAVOS: Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella, hari ini menegaskan bahawa cabaran terbesar kecerdasan buatan (AI) pada masa ini bukan lagi berkaitan kecanggihan teknologi, sebaliknya bagaimana penyebaran atau “diffusion” AI dapat berlaku secara pantas, meluas dan inklusif merentas negara, industri dan masyarakat.
Ringkasan AI
- Satya Nadella menekankan bahawa cabaran utama kecerdasan buatan (AI) kini bukan hanya teknologi canggih, tetapi juga penyebaran yang pantas dan inklusif merentasi negara, industri, dan masyarakat.
- Beliau memaparkan bagaimana AI telah merubah operasi sektor kewangan, contohnya kerjasama Microsoft dengan BlackRock yang menghasilkan peningkatan produktiviti yang ketara.
- Nadella menggariskan bahawa walaupun potensi lebihan ekonomi melalui AI, kebimbangan seperti kehilangan pekerjaan juga perlu diambil kira, dan menegaskan keperluan untuk menggunakan teknologi ini secara bertanggungjawab demi kesejahteraan masyarakat.
Nadella turut berkongsi bagaimana AI telah mengubah operasi berskala besar dalam sektor kewangan, termasuk kerjasama Microsoft dengan BlackRock melalui integrasi Copilot dan platform Aladdin.
“Tugasan yang sebelum ini mengambil masa 12 jam kini dapat dilakukan dalam beberapa minit, walaupun melibatkan pengurusan AS$14 trilion aset,” katanya.
Menurut beliau, tanpa AI dan teknologi semasa, organisasi berskala besar tidak akan mampu berfungsi dengan cekap.
Produktiviti yang meningkat ini, katanya, berpotensi mewujudkan lebihan ekonomi yang luas jika digunakan secara bertanggungjawab dan menyeluruh.
Bagaimanapun, Nadella mengakui bahawa konsep lebihan juga boleh menimbulkan kebimbangan, termasuk persoalan mengenai kehilangan pekerjaan.
Beliau menegaskan bahawa lebihan hanya bermakna jika ia diterjemahkan kepada hasil yang lebih baik untuk masyarakat.
“Jika token AI ini tidak meningkatkan kesihatan, pendidikan, kecekapan sektor awam dan daya saing sektor swasta, kita akan kehilangan keizinan sosial untuk menggunakannya,” katanya.
Dalam menjayakan penyebaran AI, Nadella berkata pendekatan perlu dilihat daripada sudut penawaran dan permintaan.
Dari segi penawaran, kecekapan token per dolar dan per watt perlu terus dipertingkat, manakala dari segi infrastruktur, beliau menyamakan AI dengan elektrik yang memerlukan rangkaian bekalan yang menyeluruh dan boleh diakses semua.
Mengakhiri ucapannya, Nadella berkata kepimpinan sektor awam dan swasta amat penting untuk memastikan AI benar-benar berfungsi sebagai pemangkin kemajuan seimbang.
“AI mesti menjadi alat untuk membina keupayaan manusia, memperkukuh ekonomi dan mewujudkan lebihan yang memberi manfaat kepada semua,” katanya
Dapatkan berita terkini WEF di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

