Skip to main content

Dunia

"Welcome back": Macron sambut hasrat Britain kembali sertai EU

Emmanuel Macron, Presiden Perancis. - Gambar fail/REUTERS
Emmanuel Macron, Presiden Perancis. - Gambar fail/REUTERS

Advertisement

LONDON: Perdana Menteri Britain, Andy Burnham, mencetuskan semula perdebatan mengenai Brexit apabila membayangkan kemungkinan United Kingdom (UK) kembali menyertai Kesatuan Eropah (EU), langkah yang disambut baik Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Macron, ketika mengulas kenyataan Burnham di Madrid pada Rabu, berkata dalam bahasa Inggeris: “Welcome back” atau “Selamat kembali.”

Burnham, yang mengambil alih jawatan perdana menteri pada Julai lalu selepas Parti Buruh menyingkirkan Keir Starmer berkata, kerajaan pimpinannya sanggup mempertimbangkan semua pilihan bagi memperkukuh hubungan Britain dengan Eropah, termasuk kemungkinan menyertai semula blok berkenaan.

Menurut beliau, Brexit yang berkuat kuasa pada 2020 telah membawa lebih banyak kesan negatif berbanding manfaat kepada negara itu.

“Britain perlu menentukan bentuk hubungan jangka panjang dengan rakan dagang terbesarnya,” katanya semasa persidangan tahunan Parti Buruh di Manchester.

Burnham berkata, kerajaan akan mengemukakan beberapa pilihan menjelang sidang kemuncak UK-EU yang dijadualkan berlangsung pada penghujung tahun ini.

Antara pilihan yang sedang dipertimbangkan termasuk menyertai semula Pasaran Tunggal Eropah dan Kesatuan Kastam EU.

“Malah, kami boleh pergi lebih jauh daripada itu,” katanya kepada BBC Radio.

“Apa yang penting adalah menilai pilihan yang boleh dilaksanakan serta memahami kelebihan dan kekurangan setiap daripadanya.”

Kenyataan itu segera mengundang reaksi positif daripada beberapa pemimpin Eropah.

Macron berkata, jika Britain benar-benar mahu kembali menyertai EU, ia akan menjadi perkembangan positif bukan sahaja untuk negara itu, malah bagi seluruh Eropah.

“Jika rakyat Britain mahu kembali dan perdana menteri sedang bergerak ke arah itu, saya fikir ia berita yang sangat baik untuk negaranya dan juga warga Eropah.

“Datanglah kembali,” katanya.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez turut menyatakan sokongan terhadap kemungkinan itu.

Menurut beliau, Sepanyol akan “membuka semula tangan” kepada rakyat Britain sekiranya London memohon untuk menyertai semula EU.

Suruhanjaya Eropah pula menyatakan ia terbuka untuk berbincang mengenai sebarang cadangan yang mungkin dikemukakan oleh kerajaan Britain pada masa depan.

Brexit masih isu sensitif

Britain keluar daripada EU selepas referendum pada 2016 menyaksikan 52 peratus pengundi menyokong langkah itu, berbanding 48 peratus yang menentangnya.

Bagaimanapun, sentimen awam dilihat mula berubah.

Tinjauan Survation pada Jun lalu mendapati 55 peratus pengundi akan menyokong penyertaan semula ke dalam EU sekiranya referendum baharu diadakan.

Pakar hubungan UK-EU, David Henig berkata, kenyataan Burnham mencerminkan pandangan semakin ramai rakyat Britain yang merasakan Brexit tidak memberikan hasil yang dijanjikan.

“Burnham nampaknya mengiktiraf pandangan meluas bahawa Brexit telah gagal,” katanya.

Walaupun begitu, Burnham masih terikat dengan manifesto pilihan raya Parti Buruh pada 2024 yang menolak penyertaan semula ke dalam Kesatuan Kastam, Pasaran Tunggal atau pelaksanaan semula kebebasan pergerakan rakyat antara UK dan EU.

Beliau bagaimanapun memberi bayangan bahawa referendum baharu mungkin dipertimbangkan sekiranya terdapat sokongan kukuh daripada rakyat.

Pilihan raya umum Britain seterusnya tidak dijangka diadakan sebelum 2029.

Pembangkang dakwa isu perpecahan lama dihidupkan semula

Kenyataan Burnham turut mengundang kritikan daripada parti-parti berhaluan kanan.

Timbalan Ketua Parti Reform UK yang anti-EU, Richard Tice menuduh Burnham cuba membawa Britain kembali ke Brussels secara “pintu belakang.”

Penganalisis turut berbeza pandangan mengenai kemungkinan langkah itu menjadi realiti.

Pengerusi inisiatif hubungan EU-UK di Parlimen Eropah, Sandro Gozi menyifatkannya sebagai peluang bersejarah untuk memperbaharui hubungan antara kedua-dua pihak.

Namun, Pengarah badan pemikir UK in a Changing Europe, Anand Menon, berpandangan, kenyataan Burnham lebih kepada membuka ruang perbincangan dan bukannya komitmen jelas untuk menyertai semula EU.

Di Manchester, pandangan rakyat juga bercampur-campur.

Seorang komposer, Dougie Brown, 38, berkata, isu itu berpotensi mencetuskan semula perpecahan politik yang panjang.

“Kita mempunyai banyak perkara lain yang lebih penting untuk diselesaikan daripada terus bertelagah sama ada berada dalam EU atau tidak,” katanya.

Sebaliknya, seorang peniaga, Sally Jones, 52, menyokong penyertaan semula penuh ke dalam blok itu.

“Saya mahu Britain menyertai semula EU sepenuhnya. Saya tidak fikir perlu ada sekatan terhadap pergerakan rakyat antara Britain dan Eropah,” katanya.

Setakat ini, tarikh rasmi sidang kemuncak UK-EU masih belum diumumkan, namun ia dijangka berlangsung pada November.

Laporan media menyebut rundingan antara kedua-dua pihak ketika ini berdepan beberapa halangan, antaranya kebimbangan Britain terhadap pelan perlindungan industri EU di bawah inisiatif “Made in Europe.” - Agensi

Must Watch Video

Advertisement