Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Polis kesan sindiket dadah rekrut lima rakyat Malaysia yang ditahan di Jakarta

BACHOK, 10 Sept - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan bercakap pada sidang media selepas Program lawatan strategik ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok, di sini hari ini. - fotoBERNAMA (2026)
Hussein berkata kesemua suspek, iaitu empat lelaki dan seorang wanita berumur antara 21 hingga 30 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah di negara ini yang dipercayai merekrut lima rakyat tempatan sebagai keldai dadah sebelum mereka ditahan pihak berkuasa Indonesia di Jakarta, Indonesia, Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua suspek, iaitu empat lelaki dan seorang wanita berumur antara 21 hingga 30 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Beliau berkata mereka disyaki cuba menyeludup lima kilogram dadah sintetik jenis etomidate yang disembunyikan di pelapik dalam kasut (insole) masing-masing.

“Pemeriksaan dilakukan terhadap suspek selepas petugas Kastam dan Eksais Indonesia mengesyaki pergerakan mencurigakan oleh kelima-lima individu terbabit. 

“Hasil pemeriksaan awal mendapati setiap seorang membawa dua bungkusan serbuk yang disyaki etomidate dengan berat kira-kira 500 gram bagi setiap bungkusan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hussein berkata pihaknya telah menerima perkongsian maklumat daripada Direktorat Tindak Pidana Narkoba (Dittipidnarkoba) Badan Reserse Kriminal (BARESKRIM) Polis Republik Indonesia (POLRI) tentang penahanan lima warga Malaysia itu.

Beliau berkata tangkapan melibatkan tiga individu dari Sarawak dan dua individu dari Pahang, dengan seorang daripada suspek mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan kesalahan dadah, manakala empat lagi suspek tidak memiliki sebarang rekod lampau.

Hussein turut mengesahkan bahawa aktiviti penyeludupan membabitkan dadah jenis etomidate merupakan satu trend baharu yang dikesan pihak berkuasa.

Media sebelum ini melaporkan kelima-lima suspek berkenaan ditahan sejurus mendarat di Jakarta menerusi penerbangan dari Kuala Lumpur pada 25 Sept lepas.

Susulan penahanan mereka, pihak berkuasa Indonesia berjaya membongkar sebuah makmal rahsia menghasilkan cecair vape mengandungi dadah di sebuah apartmen di Jakarta Utara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement