Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Jerebu: Senarai kawasan IPU tidak sihat meningkat kepada 36, Johan Setia catat bacaan tertinggi

41753088120_jerebujohansetia.jpg
Menurut data terkini daripada Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), pertambahan tiga kawasan dalam tempoh dua jam itu membabitkan Minden (128) dan Balik Pulau (117) di Pulau Pinang serta Samalaju (116) di Sarawak yang kini memasuki kategori tidak sihat.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di seluruh negara terus bertambah buruk apabila bilangan kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat meningkat kepada 36 stesen pemantauan setakat 4 petang ini, berbanding 33 stesen pada 2 petang tadi.

Menurut data terkini daripada Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), pertambahan tiga kawasan dalam tempoh dua jam itu membabitkan Minden (128) dan Balik Pulau (117) di Pulau Pinang serta Samalaju (116) di Sarawak yang kini memasuki kategori tidak sihat.

Kemerosotan kualiti udara di wilayah utara Semenanjung dan Sarawak itu berlaku ketika Johan Setia, Selangor merekodkan bacaan tertinggi negara iaitu IPU 176, manakala Kemaman, Terengganu terus mencatatkan peningkatan bacaan kepada IPU 146.

Berdasarkan status kualiti udara nasional yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi 68 stesen pemantauan yang beroperasi di seluruh negara, peningkatan jumlah kawasan pada tahap tidak sihat menyebabkan bilangan stesen dalam kategori sederhana berkurangan kepada 26 stesen, manakala hanya enam stesen masih berada dalam kategori baik.

Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.

Orang ramai dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar, menutup tingkap rumah serta memakai pelitup muka yang sesuai, termasuk N95, bagi mengurangkan pendedahan kepada zarah halus PM2.5 yang boleh menjejaskan kesihatan pernafasan.

Must Watch Video

Advertisement