KUALA LUMPUR: Peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia menuntut perancangan lebih jauh dan menyeluruh, khususnya dalam aspek persaraan, kewangan, kesihatan serta kesejahteraan bagi memastikan masyarakat bersedia menghadapi fasa kehidupan yang lebih panjang.
Ketua Jabatan Dasar dan Pengurusan Strategik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Balqais Yusoff berkata, tema “The Long Horizon” dipilih bagi mencerminkan keperluan masyarakat untuk melihat dan merancang kehidupan dalam jangka masa lebih panjang, khususnya dalam menghadapi peningkatan jangka hayat dan perubahan struktur penuaan penduduk.
“Apabila kita bercakap tentang isu penuaan, perubahan demografi dan kadar kesuburan, kita perlu melihatnya dalam jangka masa panjang kerana kesannya tidak berlaku serta-merta. Jika tempoh persaraan semakin panjang, kesannya mungkin hanya dapat dilihat dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.
"Dengan jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin meningkat, perancangan juga perlu dibuat dengan perspektif yang lebih jauh dan menyeluruh", katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI di sini pada Selasa sempena Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-13 (ISWC 2026).
Justeru, perancangan masa depan tidak boleh hanya berorientasikan keperluan jangka pendek, sebaliknya perlu mengambil kira bagaimana corak kehidupan dan keperluan individu akan berubah apabila masyarakat hidup lebih lama.
Balqais berkata, penuaan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai satu cabaran, malah ia turut membawa peluang kepada individu untuk terus mempelajari perkara baharu, memperoleh kemahiran tambahan dan kekal produktif pada usia lebih lanjut.
Menurutnya, persediaan yang dilakukan lebih awal dapat membantu seseorang menghadapi proses penuaan dengan lebih baik serta mengurangkan risiko menjadi beban kepada keluarga atau masyarakat.
Dalam konteks itu, matlamatnya bukan hanya untuk hidup lebih lama, tetapi memastikan seseorang dapat menua dengan sejahtera dan bermaruah.
Aspek kesihatan perlu bergerak seiring dengan peningkatan jangka hayat kerana pertambahan usia perlu disertai keupayaan untuk terus berdikari, produktif dan menjalani kehidupan berkualiti.
Pada masa sama, Balqais berkata, tujuan hidup atau "purpose in life" juga tidak boleh diketepikan dalam perbincangan mengenai kehidupan pada usia lanjut.
“Kita perlu menjaga kesihatan dan pada masa sama mempunyai tujuan hidup yang jelas. Kita dapat melihat bahawa individu yang mempunyai tujuan hidup berpotensi menikmati jangka hayat enam hingga 12 tahun lebih panjang. Aspek kewangan, kesihatan dan tujuan hidup sebenarnya saling berkait rapat,” katanya.
Justeru, perbincangan mengenai persediaan menghadapi usia tua tidak seharusnya hanya ditujukan kepada mereka yang hampir bersara.
Sebaliknya, generasi muda juga perlu mula memikirkan perancangan jangka panjang lebih awal, termasuk membina kemahiran, menjaga kesihatan, mengukuhkan kedudukan kewangan serta mempunyai tujuan dalam kehidupan.
Dalam aspek kewangan, jaminan pendapatan penting bagi memastikan seseorang mampu meneruskan kehidupan dengan baik selepas bersara.
Beliau turut berpandangan, sektor awam dan kerajaan mempunyai peranan dalam merangka insentif yang mampu merancakkan ekonomi, selain menyediakan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti dan memanfaatkan perkembangan teknologi yang dapat menyokong kehidupan lebih panjang dan berkualiti.
Beliau turut berkata, ISWC26 kali ini membawa perbincangan mengenai penuaan dan jangka hayat daripada pelbagai dimensi secara lebih menyeluruh, termasuk melihat pengalaman serta amalan terbaik negara maju.
Bagaimanapun, pendekatan daripada negara lain tidak boleh diterima secara langsung tanpa mengambil kira konteks tempatan, sebaliknya perlu disesuaikan dengan keadaan, keperluan dan budaya masyarakat Malaysia.
ISWC26 berlangsung selama dua hari di Shangri-La Kuala Lumpur dengan tema “The Long Horizon”, mengetengahkan perbincangan mengenai persediaan menghadapi perubahan demografi dan kehidupan yang semakin panjang.