DUNIA
Witkoff akan ke Moscow, AS belum sahkan butiran lanjut

Steve Witkoff akan mengadakan lawatan ke Moscow minggu ini untuk bertemu dengan kepimpinan Rusia. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Amerika Syarikat mengesahkan bahawa Utusan Khas negara itu, Steve Witkoff akan mengadakan lawatan ke Moscow minggu ini untuk bertemu dengan kepimpinan Rusia, namun masih belum ada maklumat lanjut mengenai jadual pertemuan itu.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce berkata, perkara itu telah dinyatakan oleh Presiden Donald Trump sebelum ini dan kini disahkan secara rasmi oleh pihak jabatan.
"Presiden telah menyebut bahawa Utusan Khas Witkoff akan ke Rusia minggu ini. Jadi kami boleh sahkan perkara itu dari podium ini. Apa yang akan berlaku dalam lawatan itu, saya tiada butiran untuk dikongsi," katanya semasa sidang media di Washington.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan sekatan baharu ke atas Rusia susulan kelewatan dalam proses damai di Ukraine, Bruce menjawab, hanya Presiden Trump yang layak mengumumkan perkara tersebut."Adakah anda mengisytiharkan bagi pihak kerajaan Amerika Syarikat akan adanya sekatan baharu ke atas Rusia? Saya tidak pasti. Kita perlu tunggu kenyataan daripada Presiden. Apa yang pasti, Presiden tidak berpuas hati dengan Putin, tetapi beliau masih komited kepada penyelesaian diplomatik," ujar Bruce.
Tambah beliau, Presiden Trump turut pernah menyuarakan kemungkinan sekatan sekunder terhadap negara-negara yang terus membeli minyak dari Rusia, namun tiada pengumuman rasmi dibuat setakat ini.
Sumber yang mengetahui rancangan lawatan tersebut memaklumkan, Witkoff dijadual berada di Moscow hari ini.
Agensi berita TASS pula melaporkan, sebuah pesawat yang dipercayai membawa Witkoff telah berlepas dari Amerika Syarikat.
Trump dilaporkan memberi tempoh sehingga Jumaat kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk menunjukkan kemajuan ke arah damai di Ukraine atau berdepan dengan sekatan yang lebih berat. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami