NEW YORK: Utusan Khas Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff mengesahkan satu pusingan rundingan antara Washington dan Tehran telah selesai dijalankan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), dengan proses perbincangan berlangsung menerusi pihak pengantara.
Menerusi hantaran di platform X, Witkoff berkata wakil pengantara berulang-alik antara kedua-dua delegasi sepanjang hari bagi menyampaikan pandangan dan mesej masing-masing.
Menurutnya, proses rundingan itu berjaya diselesaikan dan beliau berharap perkembangan tersebut dapat membuka ruang kepada kemajuan selanjutnya dalam hubungan antara kedua-dua negara.
"Rundingan itu berjaya diselesaikan dan saya berharap ia akan menjadi langkah yang membina serta memberi petanda positif ke arah usaha seterusnya," katanya.
Beliau berkata pihak pengantara akan terus memainkan peranan bagi meneruskan usaha diplomatik antara AS dan Iran.
Today, on the sidelines of the United Nations General Assembly, we engaged in lengthy talks with the Iranian delegation through the mediators, who shuttled between the two sides throughout the day. They successfully completed a round of discussions that we hope will prove…
— Special Envoy Steve Witkoff (@SEPeaceMissions) September 22, 2026
Kenyataan itu dibuat ketika kedua-dua negara meningkatkan usaha mencari titik persamaan dalam beberapa isu yang menjadi punca ketegangan sejak sekian lama.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump, memaklumkan pegawai kanan AS dan Iran telah mengadakan pertemuan di New York sempena sidang UNGA.
Media Iran pula melaporkan Menteri Luar negara itu, Abbas Araghchi, telah mengadakan perbincangan dengan Witkoff bagi menyampaikan pendirian serta syarat Tehran berhubung beberapa isu utama yang menjadi pertikaian antara kedua-dua pihak.
Walaupun masih terdapat perbezaan pendapat dalam pelbagai perkara, perkembangan itu dilihat sebagai petanda bahawa saluran diplomatik antara Washington dan Tehran masih terbuka dalam usaha meredakan ketegangan di rantau Asia Barat.