CALIFORNIA: Elon Musk mengumumkan, platform media sosial miliknya, X sedang mempertimbangkan untuk menghapuskan bilangan ‘like’ (suka) dan ‘repost’ (perkongsian semula) pada setiap kandungan dalam aplikasi itu.

Semasa berucap pada persidangan teknologi, media dan telekom Morgan Stanley di sini, pada Rabu, Musk juga berkata, X juga bakal menerima kelulusan lesen perniagaan pengurusan kewangan dan pemindahan wang di New York dalam beberapa bulan lagi.

Platform yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter sedang mencari pendekatan untuk menambah ciri-ciri berkaitan dengan wang pada aplikasi tersebut.

Seperti disebut Musk sebelum ini, aplikasi itu akan membangunkan sistem termasuk keupayaan pemindahan wang kepada pengguna lain.

Menerima lesen di setiap negeri di Amerika Syarikat merupakan satu langkah ke arah membangunkan ciri-ciri tersebut. - Agensi