Skip to main content

Dunia

Xi bincang situasi global dengan pemimpin lain pada Sidang Kemuncak BRICS

Xi Jinping
Xi Jinping akan menghadiri sidang kemuncak itu, dan beliau akan menyampaikan ucapan penting dan bertukar-tukar pandangan secara mendalam dengan pemimpin negara lain mengenai pelbagai isu. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

BEIJING: Presiden China Xi Jinping akan membincangkan situasi antarabangsa serta cara memperdalam kerjasama dengan pemimpin BRICS pada sidang kemuncak BRICS kali ini, kata Jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning pada Jumaat, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Presiden China Xi Jinping akan menghadiri sidang kemuncak itu, dan beliau akan menyampaikan ucapan penting dan bertukar-tukar pandangan secara mendalam dengan pemimpin negara lain mengenai isu utama seperti situasi antarabangsa semasa, pembangunan mekanisme BRICS serta usaha memperdalam kerjasama pragmatik,” kata Mao pada satu taklimat.

Sidang Kemuncak BRICS akan berlangsung dari 12 hingga 13 September di New Delhi.

Beliau turut berkata China akan bekerjasama dengan negara BRICS yang lain untuk menggalakkan penyelesaian politik terhadap konflik yang sedang berterusan di Ukraine dan Asia Barat.

“China menyokong konsep keselamatan yang menyeluruh, berasaskan kerjasama dan mampan. Kami komited untuk menggalakkan penyelesaian politik terhadap krisis ini melalui dialog,” kata Mao.

Beliau berkata China berharap dapat menggalakkan semua pihak menyelesaikan pertikaian melalui dialog dan rundingan, dengan bekerjasama bersama negara anggota BRICS yang lain.

BRICS ialah sebuah pertubuhan antara kerajaan yang ditubuhkan pada 2006 oleh Rusia, China, India dan Brazil, dengan Afrika Selatan menyertainya pada 2011. Giliran India memegang jawatan Pengerusi BRICS pada tahun ini.

Selain Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, BRICS kini turut merangkumi Mesir, Ethiopia, Iran, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu.

Malaysia, Belarus, Bolivia, Kazakhstan, Cuba, Uganda, Nigeria, Uzbekistan dan Vietnam menjadi negara rakan BRICS pada 2025.

 -- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video

Advertisement