Sebelum 2015 melabuhkan tirainya, ada baiknya kita meneliti semula filem-filem terbaik yang telah dipaparkan di layar perak sepanjang tahun ini.

Senarai ini bukan sahaja menyenaraikan filem yang sudah meraih status pecah panggung, malah juga mengambil kira beberapa filem berkualiti yang kurang mendapat perhatian di peringkat arus perdana.

10. Creed

Filem ini mengisahkan Adonis (lakonan Michael B. Jordan) yang mencari identiti sendiri sebagai petinju selepas mengetahui bahawa beliau sebenarnya merupakan anak Apollo Creed, petinju tersohor yang juga sahabat baik Rocky Balboa (Sylvester Stallone).

Pengarah, Ryan Coogler, yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan Jordan dalam filem Fruitvale Station, telah berjaya menampilkan karakter Balboa yang berbeza berbanding enam filem dalam francais Rocky sebelum ini. Dalam masa yang sama, Jordan sebagai Adonis dilihat menguasai filem berbanding Stallone yang bertindak sebagai mentor dalam arena tinju.

09. Tangerine

Filem arahan Sean Baker ini unik terutama sekali dari segi pembikinannya kerana dirakam sepenuhnya dengan hanya menggunakan tiga buah iPhone 5s dan beberapa lensa sokongan.

Lakonan Kitana Rodriguez sebagai Sin-Dee dan Mya Taylor sebagai Alexandra juga benar-benar berkesan dalam memikul tanggungjawab sebagai watak utama dalam filem ini: dua pelacur transgender yang mengharungi pelbagai cabaran pada malam sebelum Krismas. Lebih menakjubkan, Tangerine merupakan filem pertama lakonan mereka berdua.

08. It Follows

Pada asalnya, filem ini cuma dibikin untuk edaran terhad beberapa buah pawagam dan tontonon on-demand di televisyen, namun unsur seram segar garapan Robert David Mitchell telah berjaya meyakinkan penonton arus perdana.

Tema filem ini ringkas namun cukup untuk menghantui penonton. Jay Height (lakonan Maika Monroe) diekori oleh makhluk ghaib yang mampu berubah bentuk kepada sesiapa saja dan hanya Jay yang mampu melihatnya.

07. Ex Machina

Bertemakan sains fiksyen, filem ini meneroka tema kecerdasan buatan (artificial intelligence) apabila Caleb (lakonan Domnhall Gleeson) memenangi loteri untuk meluangkan masa di kediaman CEO syarikat beliau, Nathan (Oscar Isaac). Caleb akhirnya menyedari bahawa dia sebenarnya bertanggungjawab untuk menilai Ava, robot mirip manusia ciptaan Caleb.

Alex Garland dalam filem sulung arahannya berjaya membawa penonton memahami tema perhubungan manusia dan robot tanpa penerangan kompleks namun melalui jalan cerita dan kekuatan setiap karakter yang dibantu kesan CGI luar biasa.

06. Inside Out

Tidak keterlaluan jika dikatakan Inside Out merupakan filem animasi terbaik 2015. Filem terbitan Pixar ini membawa penonton memahami pergolakan perasaan Riley (disuarakan oleh Kaitlyn Dias) yang melalui perubahan dari seorang kanak-kanak kepada remaja - melalui lima karakter perasaan yang 'hidup' dalam Riley iaitu Joy (Amy Poehler), Sadness (Phyllis Smith), Anger (Lewis Black), Fear (Bill Hader), dan Disgust (Mindy Kaling).

05. Sicario

Persembahan cemerlang Emily Blunt sebagai Kate Macer, seorang ejen FBI, menjadi kekuatan filem ini. Tema tipu helah dan manipulasi mendominasi filem ini melalui arahan Denis Villeneuve yang sebelum ini turut mendapat kritikan positif melalui filemnya Prisoners.

Filem ini berkisarkan penglibatan Macer dalam pasukan membanteras pengedaran dadah di sempadan AS-Mexico yang berhadapan pelbagai cabaran. Filem ini turut membariskan Josh Brolin dan Benicio del Toro.

04. Selma

Perjuangan Martin Luther King untuk menuntut hak sivil bagi golongan kulit hitam digambarkan penuh dramatik dan berkesan dalam filem arahan Ava DuVernay ini. Selma, bandar kecil di Alabama, menjadi tumpuan dunia apabila dipilih oleh King sebagai titik mula untuk pejuang hak sivil berarak menuju ke Montgomery.

Lakonan David Oyelowo sebagai King begitu asli dan meruntun perasaan penonton, dibantu oleh suntingan dan sinematografi mantap kendalian Bradford Young yang menghidupkan semula Selma terutama sekali babak perarakan di Jambatan Edmund Petrus.

03. Carol

Filem yang diadaptasi dari novel Patricia Highsmith berjudul The Price of Salt terbitan 1952 ini mengisahkan Therese Belivet (lakonan Rooney Mara), jurufoto yang jatuh cinta dengan Carol Aird (Cate Blanchett) setelah terlihat Aird membeli-belah di pasar raya sekitar Manhattan.

Kisah cinta ini disampaikan penuh indah oleh pengarah Todd Haynes berbekalkan lakon layar Phyllis Nagy yang berjaya memetik unsur cinta dan keterlarangan dari novel Highsmith. Lakonan Blanchett yang sudah pun meraih Oscar tahun lalu melalui Blue Jasmine, mengesahkan status beliau sebagai antara pelakon dengan permainan mimik muka paling unggul di Hollywood.

02. Mad Max: Fury Road

Selepas 30 tahun, George Miller kembali menggegarkan layar perak dengan filem keempat francais Mad Max ini. Watak Max Rockastanky yang pernah dibawa oleh Mel Gibson kini dilakonkan oleh Tom Hardy. Kali ini, Rockastanky digandingkan dengan Imperator Furiosa (lakonan Charlize Theron) yang melarikan diri dari cengkaman pemerintah kuku besi, Immoran Joe (Hugh Keays-Byrne).

Tema pasca-apokalips yang ditonjolkan penuh aksi oleh Miller melalui adegan kejar-mengejar tanpa henti akan membuatkan mana-mana peminat filem sesak nafas sambil mengawal rasa teruja menonton filem ini.

01. Spotlight

Filem ini menampilkan tema kontroversi berkenaan siasatan yang dilakukan oleh Boston Globe ke atas salah laku seksual dalam kalangan paderi ke atas kanak-kanak di gereja Katolik di Boston.

Barisan pelakon bernama besar (Liev Schreiber, Michael Keaton, Rachel McAdams, dan Mark Ruffalo) menepati jangkaan penonton dengan persembahan mantap malah diperkuat dengan arahan Tom McCarthy yang menitikberatkan ketelitian plot yang ringkas, juga unsur dramatik dalam menonjolkan penyiasatan media terhadap antara isu paling sensitif di Amerika.

Senarai ini merupakan analisis yang dibina berdasarkan ranking yang telah dikeluarkan oleh laman sesawang yang menjadi rujukan utama peminat filem seperti Rotten Tomatoes, IMDb, Cinema Blend, TIME, Entertainment Weekly, The Telegraph, Vanity Fair, dan British Film institute.