KUALA LUMPUR: Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang arahan sutradara tersohor, Mamat Khalid berjaya meraih kutipan RM1 juta hanya dalam tempoh tiga hari ia ditayangkan bermula 15 April lalu di platfrom Astro First, saluran 480.

Watak Barkoba lakonan Bell Ngasri juga dilihat telah tular menerusi hasil ‘meme’ di media sosial ketika bulan Ramadan berikutan karakternya yang tidak berpuasa dan sinonim dengan ‘beg hitam’.

Karya 18 Puasa Di Kampung Pisang merupakan gabungan daripada dua ‘masterpiece’ pengarah Mamat Khalid, iaitu Kampong Pisang serta 16 dan 17 Puasa.

Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid bersyukur kerana karyanya diterima oleh banyak pihak.

"Alhamdulillah filem ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton.

"Saya harap filem ini bukan sahaja mampu memberi hiburan semata-mata, tetapi turut memberi pengajaran serta mengingatkan semasa kita tentang kesan baik buruk daripada kelakuan kita," katanya dalam satu kenyataan.

18 Puasa Di Kampung Pisang adalah gabungan daripada dua ‘masterpiece’ pengarah Mamat Khalid, iaitu Kampong Pisang dan 16 dan 17 Puasa.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya yakin ramai yang menantikan kehadiran filem itu.

"Apabila watak Barkoba telah tular di media sosial, ia membuktikan karakter tersebut sangat kuat dan sinonim dengan penonton ketika bulan Ramadan.

"Di media sosial juga menyaksikan rata-rata penonton serta pengkritik filem bebas berkongsi respon positif mengenai filem ini.

"Kami berharap kejayaan ini akan menjadi permulaan yang baik untuk filem ini terus mendapat sokongan daripada penonton di luar sana," katanya dalam kenyataan sama.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.

Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, tiba-tiba berlaku satu insiden di mana dia telah didatangi si iblis dan membawa Barkoba kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.



Barkoba mengabaikan zakat, menganaiyai orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang.

Dapatkah Barkoba memperbetulkan kesalahannya yang lalu dan kembali ke dunia yang nyata dan berjayakah Barkoba menyelamatkan Kiambang?

Saksikan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang yang kini berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang.

Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.