58,000 tiket Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza sudah terjual

Siti Nurhaliza menarik nafas lega kerana tidak pernah menyangka sambutan luar biasa diterima daripada peminat-peminatnya pada Konsert Legacy 30 yang akan diadakan pada 10 Januari 2026.
KUALA LUMPUR: Masa yang tinggal kurang tiga bulan, namun, sehingga semalam, tiket pementasan Konsert Legacy 30 penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sudah terjual sebanyak 58,000 tiket.
Ini bermakna, hanya berbaki 2,000 tiket sahaja (kategori VIP dan Platinum) lagi untuk direbut oleh peminat dan pencinta setia Biduanita Negara itu.
Untuk pementasan Konsert Legacy 30, penganjur hanya memperuntukan 60,000 tiket sahaja untuk jualan.
Mengulas perkembangan positif itu, penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Cindai dan Jerat Percintaan itu menarik nafas lega kerana tidak pernah menyangka sambutan luar biasa diterima daripada peminat-peminatnya.
Masakan tidak, kata Siti Nurhaliza, ini kerana konsert solo beliau yang akan dipentaskan pada 10 Januari 2026 diadakan dalam skala mega di pentas besar di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.
“Alhamdulillah, sambutan sangat luar biasa. Saya sendiri tidak menjangka tiket akan terjual secepat ini.
"Pada awalnya, saya sendiri tertanya-tanya juga, ‘boleh ke jual tiket sebanyak itu?’ Tapi syukur, peminat beri sokongan yang sangat hebat,” kata Siti Nurhaliza kepada wartawan ketika ditemui selepas pelancaran album tradisional terbaharunya, Gema Bumantara, di ibu negara, pada Selasa
Konsert Legacy 30, kata anak seni kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu sangat sentimental kerana ia merupakan terjemahan perjalanan seninya selama tiga dekad.
"Tentu sekali ia bersifat peribadi buat saya. Kerana itu, banyak idea sudah saya dan pasukan saya curahkan untuk merealisasikan pementasan.
"Banyak keinginan dan hasrat yang cuba kami berikan mengikut kemampuan dan keupayaan kami," jelas penghibur itu lagi.
Dalam masa sama, Siti Nurhaliza yang tidak menolak penganjuran konsert berskala besar itu menuntut melibatkan pelaburan tinggi menegaskan, pementasan itu akan dibuat mengikut prinsip ukur baju di badan sendiri.
“Konsert ini memerlukan kos yang besar kerana ia berlangsung di stadium, tetapi saya tidak mahu berbelanja secara berlebihan. Apa yang penting, sistem bunyi terbaik dan penonton pulang dengan pengalaman yang memuaskan,” kata ibu kepada dua cahaya mata, Siti Aafiyah Khalid dan Muhammad Afwa Khalid ini lagi.
Ketika ini, Siti Nurhaliza dan seluruh pasukannya sedang memberi perhatian pada kerja-kerja persiapan termasuk teknikal selain tumpuan beliau secara peribadi kepada aspek pemilihan lagu yang perlu dibuat dengan teliti.
"Sepertinya konsert akan berlangsung tiga jam, maka saya kena teliti dalam memilih lagu. Harus ada variasi dalam susunan muzik. Begitu juga dengan aspek persembahan, perlu berbeza dari apa yang pernah saya pentaskan sebelum ini," kata Siti Nurhaliza yang memilih untuk berahsia konsep pementasan beliau pada Konsert Legacy 30 kelak.
Ditanya mengenai latihan pementasan pula, Siti Nurhaliza berkata, menjelang pertengahan bulan depan, beliau akan memberikan tumpuan sepenuhnnya di studio latihan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


