CYBERJAYA: Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa jangan berasa malu atau menganggap kehadiran mereka sebagai beban, sebaliknya berikan perhatian, kasih sayang dan pendidikan sewajarnya bagi membantu mereka berkembang seperti kanak-kanak lain.
Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI), Datin Seri Hamidah Khamis berkata, masih terdapat keluarga yang memilih untuk menyembunyikan anak istimewa daripada masyarakat kerana berasa malu dengan keadaan anak mereka.
Beliau, yang juga isteri kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tanggapan sedemikian perlu diubah kerana anak istimewa juga berpotensi menunjukkan perkembangan positif sekiranya diberikan penjagaan dan didikan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.
“Anak-anak istimewa ini sebenarnya, kalau kita jaga dengan baik, masya-Allah, mereka lebih mudah dijaga. Cuma mereka memerlukan perhatian, kasih sayang dan pendekatan didikan daripada ibu bapa yang memahami keadaan mereka.
“Jadi, saya minta sangat-sangat kepada ibu bapa dan keluarga yang mempunyai anak istimewa supaya menjaga mereka dengan baik dan penuh kasih sayang,” katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak BAKTI 2026, di sini, hari ini.
Hamidah turut menggalakkan ibu bapa dan keluarga membawa anak istimewa mereka untuk keluar bergaul dengan masyarakat serta menghantar ke sekolah khas yang menyediakan kemudahan dan pendekatan pembelajaran bersesuaian.
Beliau berkata, penerimaan dan kesedaran dalam kalangan ibu bapa penting bagi memastikan anak istimewa tidak terpinggir daripada kehidupan bermasyarakat.
“Jangan berasa malu dan jangan anggap apabila mempunyai anak seperti ini, ia satu beban. Sebaliknya, anggaplah mereka sebagai anak istimewa dalam kehidupan kita,” katanya.
Sementara itu, Hamidah berkata, Sambutan Hari Kanak-Kanak hari ini adalah sebahagian daripada inisiatif kebajikan dan kemasyarakatan BAKTI dalam memberikan pengalaman yang ceria, inklusif dan bermakna kepada kanak-kanak, khususnya anak-anak daripada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).
“Sambutan Hari Kanak-Kanak bukan sekadar suatu acara untuk bergembira, bermain dan menerima hadiah tetapi manifestasi penghargaan kita terhadap kanak-kanak sebagai amanah yang amat berharga serta aset penting kepada keluarga, masyarakat dan negara.
“Setiap kanak-kanak berhak menikmati zaman kanak-kanak yang bahagia, mendapat kasih sayang dan perlindungan serta diberikan peluang untuk belajar dan berkembang dalam persekitaran yang selamat dan sejahtera,” katanya.
-- BERNAMA