Filem terbitan Astro Shaw telah meraih sebanyak 50 pencalonan daripada 140 pencalonan yang dipertandingankan daripada pelbagai kategori dalam Festival Filem Malaysia (#FFM27) tahun ini.

Sebanyak tujuh filem yang dikeluarkan tahun lalu antaranya Kami Histeria, Terbaik Dari Langit serta Lagenda Budak Setan 3 telah memberi saingan yang sengit kepada pencalonan yang lain.

Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata beliau amat berbesar hati dengan senarai pencalonan yang telah diumumkan. Ini menunjukkan Astro Shaw masih utuh di medan industri filem untuk menghasilkan karya yang terbaik buat penonton tempatan.

"Syukur Alhamdulilah, Astro Shaw telah memberi suntikan yang jitu terhadap perkembangan industri filem tempatan sehingga menerima banyak percalonan dalam FFM kali ini.

"Umumnya kita mengetahui, industri kita bergerak agak perlahan namun pihak kami tidak menjadikan ia sebagai alasan untuk tidak terus menghasilkan pelbagai filem yang berkualiti serta sesuai dengan kehendak penonton dari pelbagai lapisan umur," kata Najwa kepada portal Murai.com.my.

Ketika ditanya, mampukah Astro Shaw menjulang piala kemenangan Filem Terbaik kerana tiga filem di bawah produksinya telah tercalon dalam kategori yang sama, Najwa menjawab ia amat sukar untuk diramal kerana filem-filem lain yang tercalon mempunyai daya kekuatan sendiri dan mampu dinobatkan filem terbaik.

"Saya tak berani nak bagi komen, tapi yang penting ialah usaha kami yang akan datang ialah mahu menghasilkan filem dari pelbagai genre serta tidak memfokuskan kepada filem Melayu sahaja.

"Bagi pendapat saya, sesuatu filem itu kita perlu rangka promosi yang menyeluruh agar filem kita dikenali dan tertarik untuk ditonton di pawagam. Seperti Polis Evo yang akan ditayangkan pada 17 September, kami dah 'all out' mempromosikannya dari semasa ke semasa," katanya mengakhiri bicara.