FILEM atau drama yang diadaptasi dari novel mahu pun buku sudah mula menjadi trend dalam dunia dunia seni tanah air.

Kebanyakan filem adaptasi novel ini menjadi pilihan kerana meskipun pembacanya sudah tahu jalan cerita berkenaan, namun, apabila ia dihidupkan dalam layar lebar ia bakal memberi keterujaan yang berbeza.

Bagi Pengerusi Bank Pembanggunan Malaysia (BPMB), Tan Sri Nazir Razak, idea untuk mengfilemkan buku tulisannya berjudul Di Sebalik Nama belum terlintas di fikirannya sebelum ini.

Namun, menerusi temu bual bersama Astro Gempak, beliau akui tidak menolak jika bukunya difilemkan suatu hari nanti.

Malah menariknya, nama aktor Syafiq Kyle menjadi sebutan di bibirnya untuk menjadi watak utama iaitu yang akan melakonkan karakter sebagai dirinya dalam filem itu nanti.

“Sebenarnya saya tak fikir pun lagi, tapi sekarang bila ditanya saya baru terfikirkannya. Hmm, kalau buat filem saya nak minta Syafiq Kyle jadi Nazir Razak.

“Dia tak handsome tapi bolehlah…,” jawabnya berseloroh kita ditanya.

Apabila ditanya apa yang membuatkan beliau memilih Syafiq, Nazir memberitahu kagum dengan lakonananya ketika menjadi cameo dalam drama One Cent Thief.

“Sebenarnya saya baru sahaja jumpa keika penggambaran baru-baru ini. Selepas mengenalinya baru saya mula muat naik klip lakonannya. Lakonan dia nampak bagus,” pujinya.

Berkongsi pengalamannya pertama kali menjalani penggambaran drama, Nazir memberitahu, ia satu pengalaman yang menyeronokkan.

“Saya seronok… Saya terkejut macam mana mereka buat filem. Saya punya kemunculan hanya dalam 30 saat sahaja tapi nak jayakan babak tu ambil masa dalam sejam lamanya.

“Mereka sangat teliti dalam kerja saya seronok melihatnya,” kongsinya lagi.

One Cent Thief merupakan drama Astro Original yang menampilkan Syafiq sebagai pelakon utama dan bakal menemuni penonton tak lama lagi.

Selepas naskhah What’s In A Name laris terjual pada tahun lalu, Nazir muncul dengan bukunya dalam versi bahasa Malaysia berjudul Di Sebalik Nama.

Terjemahan buku sulungnya yang mengisahkan keluarganya dan bapanya yang merupakan Perdana Menteri kedua negara serta kerjaya dan jiwa Malaysia itu kini sudah mula berada di pasaran.

Buku versi bahasa Malaysia ditawarkan pada harga mesra pembaca iaitu RM49, manakala harga versi bahasa Inggeris ialah RM89.

Kedua-dua buku Di Sebalik Nama terbitan Alaf 21 dan What’s in A Name terbitan Whitefox boleh didapati di kedai-kedai buku berdekatan.

Artikel asal di Gempak.