HIBURAN
Aina Abdul terbuka kongsi karya ciptaannya

Mengenai pencalonan sulungnya dalam AIM24, Aina meluahkan rasa syukur dan teruja apabila menjadi antara artis yang meraih pencalonan terbanyak pada edisi kali ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Selepas lagu Peganglah Hati nyanyian Didie Shazry mendapat sambutan hangat, penyanyi dan komposer terkenal Aina Abdul kini lebih terbuka untuk berkongsi karya ciptaannya dengan artis lain.
Aina, atau nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani, mengakui sebelum ini beliau berasa takut untuk menyerahkan lagunya kepada penyanyi lain, namun pengalaman bekerjasama dengan Didie Shazry telah memberikan keyakinan baharu kepada beliau.
"Mungkin Allah lorongkan saya untuk menyertai program realiti nyanyian 'Raise The Star Malaysia' ini sebagai juri dan komposer supaya saya lebih berani. Lagu yang diberikan kepada Didie itu sebenarnya untuk 'test market', namun saya bersyukur ramai yang menyukainya.
"Selama ini saya banyak menghasilkan lagu untuk saya sahaja sebab saya tidak boleh tegas (dengan penyanyi lain di dalam studio) kerana saya hormat orang itu. Sekarang saya rasa lebih berani (berkongsi karya), tapi tengok artis juga," katanya kepada Bernama selepas sidang media pengumuman Top 5 Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) di ibu negara baru-baru ini.Pelantun lagu Jangan Mati Rasa itu turut menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan komposer lain bagi memberi nafas baharu kepada lagu-lagu lama dalam simpanannya.
Katanya walaupun lebih gemar menghasilkan karya baharu yang segar, beliau menyedari lagu-lagu yang tersimpan masih mempunyai nilai dan boleh diketengahkan dengan pendekatan berbeza.
"Lagu-lagu lama (dalam simpanan) itu ada sahaja 'pemanisnya', cuma kita kena ubah suai dengan cara berbeza dan untuk itu saya perlukan bantuan, mungkin bekerjasama dengan komposer lain," katanya.
Ditanya tentang minatnya dalam genre etnik kreatif, Aina tidak menolak kemungkinan menghasilkan lagu dalam irama itu namun dirinya belum cukup bersedia.
"Harapan saya terhadap lagu etnik kreatif sangat tinggi dan saya rasa kemampuan saya belum sampai tahap itu lagi. Tapi saya tetap belajar dan ada hubungi beberapa individu yang saya rasa boleh bekerjasama, cuma tidak akan berlaku dalam masa terdekat," katanya.
Sementara itu, mengulas pencalonan sulungnya dalam AIM24, Bintang Paling Popular ABPBH 36 itu meluahkan rasa syukur dan teruja apabila menjadi antara artis yang meraih pencalonan terbanyak pada edisi kali ini.
"Saya masih terkejut kerana ini AIM pertama saya. Kami hantar penyertaan dalam hampir semua kategori dan seterusnya berserah kepada Allah. Saya tak sangka kedua-dua album terpilih.
"Saya memang dah lama mengimpikan untuk memegang trofi AIM kerana saya membesar melihat sifu (guru) saya seperti Abang Ajai memenanginya. Bagi saya anugerah ini sangat ikonik, terutama untuk penulis lagu dan orang-orang di belakang tabir seperti saya," katanya.
Aina tercalon dalam sembilan kategori pada AIM24, iaitu kategori Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Runut Bunyi Terbaik, Kolaborasi Bersama Artis Luar Negara Terbaik, Album Terbaik, Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik.
Majlis anugerah berprestij itu dijadualkan berlangsung pada 13 Sept depan di Arena of Stars, Genting Highlands dan akan disiarkan secara langsung melalui TV2 serta RTM Klik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami