KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan nasyid Rabbani, Nazrul Azhar Tamrin dilapor meninggal dunia di kediamannya di Sungai Buloh, jam 4.45 petang tadi.

Pemergian Nazrul disahkan menerusi kemas kini di akaun Facebook rasmi kumpulan itu sebentar tadi.

"Al-Fatihah buat Allahyarham Nazrul Azhar Tamrin, anggota Rabbani yang telah meninggal dunia sebentar tadi.

"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang bertaqwa. Beliau menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Saujana Utama.

"Insya-Allah jenazah Abang Nazrul @ Abg Acul akan dikebumikan malam ini di Saujana Utama. Mandi jenazah akan diuruskan di Masjid Saujana Utama.

"Insya-Allah lepas Maghrib, van jenazah akan datang ambil jenazah dan bawa ke Masjid Saujana," tulis kenyataan di akaun Facebook Rabbani.

Sementara itu, memetik laporan sebuah portal hiburan, seorang lagi anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz memaklumkan anak Allahyarham pada awalnya memaklumkan bapanya tidak sedarkan diri kira-kira jam 4 petang, dan menghembuskan nafas terakhir tidak lama selepas itu.

Media terdahulu pernah melaporkan Allahyarham menderita penyakit buah pinggang sejak lapan tahun lalu.

"Nazrul sudah hampir lapan tahun tidak bersama kami. Namun, kami tetap agihkan hasilnya kepadanya.

"Rezeki diterima kami bahagikan lapan orang. Begitu juga dengan pembahagian royalti," kata Azadan.