BEBERAPA jam menjelang upacara angkat sumpah Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46, Joe Biden, pemerhati politik di seluruh dunia kini menumpukan perhatian ke Washington.

Dalam pada banyak pihak mengharapkan detik itu membawa peluang melakar sejarah baharu bagi Negara Uncle Sam itu, sama ada dari segi perubahan positif di dalam negara tersebut dan juga dasar antarabangsa, ramai juga yang sekadar merasai kelegaan dan keterujaan untuk melihat sosok baharu yang menggantikan Donald Trump yang penuh kontroversi.

Golongan selebriti di negara berpopulasi 328 juta itu juga tidak berkecuali dalam menzahirkan perasaan mereka menerusi pelbagai saluran media sosial.

"Hari ini merupakan pengakhiran kepada kemusnahan negara, namun aib itu akan kekal dalam sejarah buat selamanya," itu kata-kata Chrissy Teigen, model, personaliti dan isteri kepada penyanyi John Legend dalam satu entri di laman Instagram rasminya sambil bergambar dengan latar belakang Pentagon, pada Rabu.



Malah, menjelang upacara berkenaan yang dijangkakan bermula seawal 11 pagi Rabu (waktu AS), rata-rata nama terkemuka Holywood menyatakan perasaan teruja mereka berdepan peralihan kuasa dan pentadbiran baharu yang bakal menggantikan pentadbiran Presiden Donald Trump.

Dalam pada itu, Jennifer Lopez atau lebih popular disapa sebagai J.Lo memuat naik entri di media sosialnya bersama angkatan tentera AS yang dianggap hero sebenar, bagi meraikan detik sejarah yang penuh bermakna.

“Saya sungguh terharu kerana dapat meluangkan masa bersama jejaka dan wanita berani ini. Terima kasih atas jasa dan pengorbanan anda, saya beri penghormatan kepada anda saat ini dan selamanya,” kata penyanyi popular yang turut akan memeriahkan acara keraian selepas angkat sumpah itu dengan persembahannya.


Selain itu, Lady Gaga atau nama sebenarnya Stefani Germanotta turut tidak ketinggalan. Gaga malah dipilih sebagai bintang yang bakal menyanyikan lagu kebangsaan sewaktu majlis angkat sumpah Biden bermula 12:15 malam Khamis (waktu Malaysia).

“Saya berdoa agar hari ini hari yang penuh keamanan buat semua warga Amerika, hari yang penuh cinta dan bukan benci, hari penerimaan dan bukan ketakutan, hari untuk kita mencapai keceriaan di seluruh negara,” kata Gaga dalam ciapan di laman Twitter.

Ciapan itu disertai foto Gaga memakai busana lengkap berwarna putih bersama pelitup muka sambil bergambar di dalam bangunan Capitol, sehari sebelum upacara angkat sumpah.


Selebriti ternama yang turut akan muncul memeriahkan acara susulan pada malam (waktu AS) termasuk Tom Hanks sebagai hos, serta persembahan dari Justin Timberlake, Demi Lovato, Jon Bon Jovi dan Ant Clemons.

Berikut adalah antara selebriti lain yang turut memuat naik hantaran di akaun media sosial masing-masing, yang berkaitan dengan sambutan upacara angkat sumpah Joe Biden dan Kamala Harris: