ENTERTAINMENT
Anna Jobling tidak sesekali lupa nilai kemelayuan

Anna tidak akan sesekali membuang prinsip kerana tawaran kerja. - Foto Sinar Harian
BEKERJA di dua negara berbeza bukan sahaja memberi pengalaman berbeza buat pelakon berdarah kacukan, Anna Jobling, tetapi juga 'menguji' maruah dan prinsip.
Meskipun kini dikenali sehingga ke negara seberang, Indonesia, pemilik nama penuh Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling tidak sesekali membuang prinsip dalam menjaga tatasusila dan kesopanan wanita Melayu hanya kerana tawaran lakonan yang datang.
Dedah Anna, 24, baru-baru ini beliau telah menolak satu tawaran drama siri untuk siaran sebuah platform penstriman selepas mengetahui perlu menjayakan babak yang menyimpang dari prinsipnya.
"Sepatutnya saya terlibat dengan sebuah penggambaran drama bersiri tetapi saya telah menarik diri pada saat akhir kerana ada babak yang tidak sesuai untuk dilakonkan."Ikutkan drama itu bergenre komedi, tetapi ada babak panas kerana saya sendiri rasa tidak selesa untuk menjayakannya.
"Tidak perlu saya huraikan babak yang bagaimana, tetapi cukuplah saya katakan ia tidak selari dengan norma masyarakat kita dan prinsip bekerja saya," katanya.
Anna berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama peminat dan media di Damansara kurang seminggu sebelum sambutan Aidilfitri.
Tambah pemenang tempat keempat Dewi Remaja 2018/2019 itu, sejak awal terlibat dalam industri seni, beliau sudah menetapkan bahawa tiada pakaian seksi mahupun bikini yang perlu dijayakan baik dalam lakonan mahupun sesi fotografi.
Jelasnya, jika pada hari biasa pun, beliau tidak pernah mengayakan pakaian seksi atau menjolok mata
"Bila saya terima tawaran berlakon di Indonesia pun, saya masih bawa prinsip itu ke sana. Sejak awal pihak pengurusan akan maklumkan yang saya tidak akan berpakaian seksi ketika berlakon dan menjayakan babak panas.
"Sekiranya mereka okay, baharu saya terima. Jika tidak, saya akan tolak dengan cara baik.
"Saya pun faham bagaimana keterbukaan selebriti di sana dalam menjayakan babak 'daring', tetapi bukan semua begitu, kerana masih ada yang menjaga tatasusila mereka," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, anak berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu berkongsi keterujaan apabila diberi kepercayaan membawakan watak antagonis; buat pertama kali dalam karier lakonannya.
"Sebelum ini, saya selalu membawa watak sedih, tersakiti. Kali ini saya cuba kelainan, untuk melihat sama ada saya boleh bawa watak jahat atau tidak,” katanya.
Walaupun banyak pihak yang berpendapat bahawa wajahnya tidak sesuai untuk watak jahat, Anna tetap yakin dia mampu membawa watak tersebut dengan baik.
“Jika orang benci saya kerana watak itu, bermakna saya berjaya,” ujar Anna sambil tersenyum.
Anna akan berlakon bersama hero-hero seperti Zahiril Adzim dan Syahrul Ezani dalam siri 28 episod tersebut, serta turut membintangi dua filem, termasuk sebuah filem Indonesia.
Sementara itu, beralih kepada ceritera sambutan Aidilfitri tahun ini, Anna berkata, seperti kebiasannya beliau meraikan Lebaran bersama keluarga di Melaka dan Kuala Lumpur.
Ujarnya, sebagai anak tunggal, bintang yang melonjak menerusi siri Melur Untuk Firdaus itu sudah terbiasa dengan sambutan hari raya yang sederhana dan intim.
"Saya sudah terbiasa meraikan Aidilfitri secara kecil-kecilan dengan keluarga yang tidak besar. Kalau sambutan besar-besaran, saya sendiri tidak tahu bagaimana cara untuk mengendalikannya.
"Apa yang penting dapat luangkan masa bersama keluarga sejak Syawal pertama, memandangkan mulai esok, saya akan mula bekerja," katanya.
Tatkala ditanya mengenai juadah kegemarannya, Anna berkata, ketupat atau nasi impit bersama kuah kacang sentiasa menjadi pilihan memandangkan beliau tidak menyukai daging.
Apatah lagi, Aktres TV Popular di Anugerah Bintang Popular ke-36 itu sudah lebih 10 tahun tidak menikmati apa jua masakan berasaskan daging.
"Saya akan rasa loya walaupun menikmati sup. Perut saya juga akan mula tidak selesa. Ikutkan bukan daging, tetapi ayam pun saya jarang makan.
"Bagi tambah protien dalam badan, saya akan makan makanan laut, tetapi itu pun sesekali sahaja. Kebiasaannya saya suka makan apa sahaja jenis sayuran atau berasaskan sayuran," jelasnya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami