Teater muzikal, “Yao Lee The Legendary Rose” mendominasi acara pembukaan Anugerah Seni Boh Cameronian ke 10 apabila membawa pulang tiga trofi.

Teater arahan, Yang Wei Han itu diiktiraf menerusi kategori rekaan set, penataan bunyi dan penataan cahaya terbaik untuk kategori teater muzikal.

Sebanyak 8 anugerah diberikan bagi anugerah teknikal dalam acara yang berlangsung di pusat beli belah Pavilion, Kuala Lumpur.

Wei Han juga berjaya menewaskan pesaing kuatnya, pengarah “Empress Wu”, Pun Kai Loon menerusi kategori rekaan set terbaik.

“Saya percaya semua calon layak untuk menang dimana kesemuanya mempunyai peluang yang sama. Ini merupakan produksi pertama Han Production dan pengiktirafan ini bakal menjadi pendorong kami untuk terus maju ke hadapan,” kata Wei Han dengan penuh teruja.

Teater muzikal “Yao Lee The Legendary Rose” mendapat 8 pencalonan dimana selebihnya bakal ditentukan pada malam kemuncak, 1 Mei ini.

Dengan kemenangan awal ini, Wei Han yakin produksinya bakal meraih lebih banyak trofi pada malam kemuncak nanti.

Pemenang lain termasuk teater “Wushu Madness” yang meraih dua trofi untuk rekaan set dan penataan cahaya bagi kategori tarian.

Selain teater “Nadirah” membawa pulang trofi penataan cahaya bagi kategori teater.

Festival Kakiseni Anugerah Seni Boh Cameronian ke -10 disokong penuh oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.

Saksikan video klip penuh di Gala TV menerusi Astro Awani.