SELEPAS hampir dua dekad, Apple dilaporkan sedang membuat perancangan untuk menghentikan iTunes.

Bloomberg melaporkan, syarikat gergasi teknologi itu akan mengumumkan hal tersebut secara rasmi pada satu persidangan pemaju teknologi yang bermula Isnin ini.

Perkembangan terbaharu ini bukan satu kejutan kerana kerana perkhidmatan penstriman berasaskan langganan, termasuk Apple Music, kini mengatasi iTunes dari aspek muat turun muzik.

Sejak dilancarkan pada 2001, iTunes berkembang menjadi gergasi media dan 'pusat sehenti' untuk pengguna menggunakan media termasuk muzik, filem, dan TV.

Apple dilaporkan bercadang untuk membahagikan perkhidmatan media itu kepada tiga aplikasi baru berbeza iaitu muzik, TV, dan podcast.

Pemerhati berpendapat langkah yang diambil Apple ini akan lebih menonjol sebagai penyedia perkhidmatan hiburan menerusi pelbagai platform.

Aplikasi muzik yang bakal dilancarkan itu nanti dilaporkan akan mempunyai beberapa ciri utama iTunes, termasuk pembelian lagu dan penyeragaman peranti, selain fungsi yang lebih pelbagai.