Semua sedia maklum lagu Suka Sama Kamu yang pernah dipopularkan kumpulan Indonesia, Bagindas tular di platform TikTok ketika ini.

Jadi, apa kata layan lagu viral itu secara live sempena Konsert Bagindas Live In Kuala Lumpur: Suka Sama Kamu yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, jam 8 malam, pada 30 November ini.

Bagindas yang dianggotai empat anggota kumpulan iaitu Andra, Wendy, Fery dan Ragil itu bakal membawakan sesuatu yang cukup istimewa dan eksklusif buat seluruh peminat setia.

Menurut penganjur, Purosangue Entertainment, konsert Konsert Bagindas Live In Kuala Lumpur: Suka Sama Kamu itu bakal mencetuskan satu lagi fenomena.

“Band Bagindas bukanlah asing dalam kalangan pencinta muzik tanah air. Kebanyakan lagu-lagu mereka cukup melekat dan menjadi pujaan peminat di kedua-dua negara.

“Jadi, melihatkan sambutan dan sokongan padu yang diberikan kepada Bagindas membuatkan kami cukup yakin untuk menganjurkan konsert ini. Berbekalkan kredibiliti yang dimiliki Bagindas, mereka mampu menghiburkan peminat kerana kami percaya kumpulan ini mempunyai pengikut tegar di sini,” katanya kepada Gempak.

Keempat-empat ahli kumpulan Bagindas hadir pada sidang media konsert sulung mereka di Zepp KL baru-baru ini turut menyatakan keterujaan mereka bertemu peminat di Malaysia.

"Selama ini kami sentiasa menunggu peluang untuk mengadakan konsert sulung di Malaysia. Kami sering menerima permintaan daripada peminat yang mahu kami datang ke Malaysia untuk membuat konsert.

"Kami menganggap tahun ini adalah waktu yang tepat dan rezeki untuk kami bertemu dengan peminat Bagindas," katanya.

Sesuatu yang cukup istimewa juga apabila pada Konsert Bagindas Live In Kuala Lumpur: Suka Sama Kamu ini apabila Bagindas bakal mempersembahkan kelainan dari segi muzik menerusi kolaborasi bersama DJ Rycko Ria.

Gabungan muzik campuran semula atau remix daripada Bagindas X DJ Rycko Ria pastinya sesuatu yang cukup dinanti dan mengujakan kerana ia bertepatan dengan cita rasa pendengar masa kini.

Tiket untuk menuyaksikan Konsert Bagindas Live In Kuala Lumpur: Suka Sama Kamu dijual pada harga RM3600 (VIP Box); RM200 & RM225 (Seating Price); RM179 (Normal Standing Ticket Price); RM139 (Early Bird Standing Price).

Pembelian tiket akan bermula hari ini di laman web www.purosangue.live - Gempak