BRADLEY COOPER dilaporkan kembali bercinta, dan kali ini wanita yang mendampinginya bukan calang-calang.

Menurut media antarabangsa, wanita tersebut adalah seorang wanita Muslim yang berprofil tinggi dalam bidang politik, Huma Abedin.

Huma Adebin, 45, dan Cooper, 47, didakwa telah menjalin hubungan sejak beberapa bulan kebelakangan ini selepas diperkenalkan oleh Editor in Chief Vogue, Anna Wintour, lapor Page Six dan media Hollywood lainnya.

Bintang dan pengarah A Star Is Born dan Abedin yang sebelum ini merupakan orang kuat Hillary Clinton itu bagaimanapun belum memberi sebarang respons terhadap berita yang sedang bertiup kencang sekarang.

“Mereka sangat merahsiakan hubungan yang terjalin sejak beberapa bulan lalu ini,” ujar satu sumber.

Cooper dan Huma diketahui telah hadir ke acara Met Gala di New York pada 2 Mei lalu secara berasingan.

Untuk rekod, Cooper memiliki seorang anak perempuan berusia 5 tahun hasil hubungan dengan mantan pasangannya, model Irina Shayk. Dia juga pernah menjalin cinta dengan seorang model selama empat tahun sebelum berpisah pada 2019.

Abedin atau nama sebenarnya Huma Mahmood Abedin pula mempunyai seorang anak lelaki, Jordan, 10, hasil perkongsian hidup bersama bekas suaminya, Anthony Weiner.

Wanita yang mahir berbahasa Arab ini berpisah dengan Weiner pada 2017 selepas lelaki tersebut terbabit dengan skandal seks politik dan mengaku mengalami trauma sehingga kes penceraian dan hak asuh anak selesai tahun lalu.

Dalam satu temu bual pada Mei lalu, dia juga mengaku bergelut dengan serangan anxiety kerana skandal seks mantan suaminya. Namun keadaannya kini beransur pulih selepas menghadiri terapi.

Dia kemudian memberitahu sudah kembali menjalin hubungan asmara dengan lelaki yang dirahsiakan identitinya dan sangat teruja dengan perhubungan mereka.

*Artikel asal disiarkan di Gempak