HIBURAN
Bunga Citra Lestari kongsi rutin jaga emosi

BCL berkata aktiviti memasak dan menonton drama Korea menjadi bentuk terapi yang memberinya ketenangan serta membantu mengurangkan tekanan dalam kerjaya seninya. - Gambar/ IG @itsmebcl
KUALA LUMPUR: Di sebalik jadual kerjaya seninya yang padat, selebriti terkenal Indonesia Bunga Citra Lestari atau lebih dikenali sebagai BCL tetap mencari ruang untuk meluangkan masa buat diri sendiri yang disifatkannya penting bagi menjaga keseimbangan emosi.
Ringkasan AI
- Bunga Citra Lestari (BCL) berkongsi bahawa aktiviti memasak dan menonton drama Korea menjadi terapi peribadi untuk mengekalkan keseimbangan emosi di sebalik jadual seni yang padat, dengan hidangan seperti rendang dan kek coklat antara kegemarannya.
- BCL mengekalkan hubungan baik dengan keluarga bekas suami, Allahyarham Ashraf Sinclair, yang turut menerima kehadiran suami baharunya Tiko Aryawardhana sebagai sebahagian daripada keluarga, hasil hubungan yang dibina atas dasar hormat dan kematangan.
- BCL bakal mengadakan konsert 'Eternal Love Timeless Romance' pada 27 September di Kuala Lumpur, menampilkan Dennis Lau dan Jaclyn Victor sebagai artis jemputan, dengan konsep persembahan intim yang menekankan penceritaan emosi dan pengalaman hidupnya.
"Bagi saya, memasak adalah satu bentuk healing. Bila kita masak untuk orang yang kita sayang dan lihat mereka menikmati makanan itu, rasa puas dan bahagia itu datang sendiri," katanya kepada pemberita selepas pelancaran konsert BCL: Eternal Love - Timeless Romance, di sini semalam.
BCL-TERAPI 2 KUALA LUMPUR
Kesibukan kerjaya juga tidak menghalang BCL untuk bertemu dengan keluarga bekas suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2020.
Katanya hubungan baik itu masih kekal shingga hari ini walaupun selepas pemergian Ashraf, dan keluarga mentuanya turut menerima kehadiran suami baharunya Tiko Aryawardhana, yang dikahwini pada 2023.
"Kami sentiasa berhubung antara satu sama lain. Bagi saya, ketika saya menjalinkan hubungan dengan Ashraf dahulu saya bukan hanya mencintai Ashraf tetapi juga keluarganya. Keluarganya juga sangat baik dan sentiasa menyokong saya. Malah sekarang mereka turut menerima Tiko sebagai sebahagian daripada keluarga kami.
"Saya sangat bersyukur kerana ini sesuatu yang indah. Bukan semua orang berpeluang merasakannya. Hubungan ini dibina sejak awal dengan penuh pengertian, saling hormat dan kematangan. Tiada rasa cemburu atau iri hati. Yang ada hanyalah bagaimana kami boleh saling memberi dan menyokong antara satu sama lain," katanya.
Sementara itu, BCL bakal kembali menghiburkan peminat tempatan menerusi konsert BCL: Eternal Love- Timeless Romance yang dijadualkan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 27 Sept depan.
Berbeza daripada Rossa dan Melly Goeslaw yang mengadakan konsert berskala besar, pelantun lagu Cinta Sejati itu lebih selesa memilih mementaskan persembahan yang lebih intim demi memberi ruang kepada penceritaan emosi yang mendalam menerusi lagu-lagu pilihannya.
"Banyak hal yang masih ingin saya sampaikan melalui lagu. Gaya nyanyian saya memang berbentuk penceritaan, dan ia lebih berkesan dalam suasana yang dekat dengan penonton
"Apa yang penting bukan sekadar persembahan yang hebat, tetapi adakah konsert ini akan menjadi sesuatu yang dikenang oleh mereka yang hadir, kerana itu sangat bermakna," katanya yang turut menjanjikan pelbagai kejutan buat peminat setianya.
Konsert anjuran Pulse Project Asia itu turut menampilkan pemain biola elektrik dan penerbit muzik tersohor Dennis Lau serta penyanyi bersuara emas Jaclyn Victor sebagai artis jemputan.
"Saya menonton video Dennis main biola untuk lagu 12 Tahun Terindah, ia sangat menyentuh perasaan dan mengagumkan. Saya juga peminat Jaclyn sejak zaman Malaysian Idol. Pada saya, dia antara vokalis terbaik di Asia dan saya sangat berbangga dapat berkolaborasi dengannya," katanya yang menyifatkan kolaborasi itu sebagai simbol perpaduan seni antara Indonesia dan Malaysia.
Menurutnya, konsert kali ini bukan sekadar menyajikan persembahan hiburan, sebaliknya menjadi ruang untuk menyampaikan pelbagai cerita hidupnya dari fasa kehilangan dan kesedihan kepada keberanian untuk bangkit semula serta menghargai cinta dalam pelbagai bentuk.
Tiket konsert boleh dibeli secara dalam talian melalui platform Ticket2U.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami