PENYANYI dan pelakon popular Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) memaklumkan dirinya positif virus COVID-19 menerusi akaun media sosialnya pada Selasa.

Menerusi hantaran di Instagramnya, BCL secara terbuka memberitahu bahawa dia kini menjalani proses kuarantin kendiri selepas mendapat tahu dirinya positif virus berkenaan, kataya seperti dilaporkan Gempak.

"Saya baru mendapat keputusan hari ini dan disahkan positif virus korona.

"Sekarang saya sedang menjalani isolasi kendiri dan insya-Allah akan pulih seperti sediakala.

"Saya menggalakkan orang ramai untuk sentiasa mengambil langkah agar terus selamat dan sihat. Jaga diri anda dan orang yang tersayang.

"Tingkatkan sistem imunisasi anda dan hadapi perkara ini dengan serius. Saya jumpa anda nanti..." pesan BCL dalam bahasa Inggeris di kapsyen gambarnya.

Dalam mesej ringkas kepada Astro AWANI, BCL memberitahu bahawa hasil keputusan saringan anakya, Noah Sinclair, 10 tahun, adalah negatif dan dalam keadaan baik.
BACA: DATA DAN MAKLUMAT TERKINI ADA DI SINI


"Setakat ini Noah aman (selamat). ada doktor yang menjaganya di rumah," kataya.


Hantaran Instagram oleh isteri kepada arwah pelakon Ashraf Sinclair itu dihujani dengan ratusan ucapan dan doa daripada rakan selebriti dan juga peminat.

"Hope you feeling better soon," komen rakan artis, Acha Septriasa, di ruangan komennya.

"Semangat ungee. Cepat pulih ya," ujar penyanyi Judika pula.

Pada awal Jun lalu, BCL pernah berkongsi aktivitinya bercuti di pulau Bali, Indonesia sekali gus mencetuskan kerisauan ramai.

Malah, ada antara komen yang ditulis di Instagram BCL yang menyifatkan keadaan tersebut adalah kesan daripada aktiviti percutiannya.

"Berjalan je kerja, memanglah. Mask pun hilang, kan dah kena," kata seorang pengguna Instagram.

"Udah dibilang, jangan ketemu yang abis kena COVID-19, tapi malah ketemuan terus sampai liburan bareng, ya udah get well soon.

"Yang selama ini menjaga COVID-19 banget demi Noah dan orang tua, tapi sekalinya keluar langsung jalan-jalan ke mana-mana, parti ke mana-mana, endingnya seperti ini," kata seorang lagi pengikutnya, dipercayai warga Indonesia.