BERSEMPENA majlis pernikahan yang berlangsung semalam, pelakon dan penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari ada muat naik sebuah hantaran video istimewa di laman Instagram miliknya.

Menerusi video berdurasi lebih dua minit itu, Bunga telah meluahkan isi hatinya yang terpendam selama ini.

Menurut Bunga, selepas pemergian suaminya yang juga merupakan pelakon asal Malaysia, Allahyarham Ashraf Sinclair, dia sering tertanya-tanya adakah dirinya mampu kembali mengecap rasa bahagia.

“Melihat ke belakang dan merasakannya kembali, saat aku bertanya, adakah bahagia itu akan ada lagi? Hari demi hari berlalu, sedikit demi sedikit aku beradaptasi dengan rasa sakit.

“Menjalani hidup dengan kesedaran kalau sakit ini tidak akan pernah pergi. Akan tetap ada di situ tapi aku boleh hidup dengannya,” katanya.




Dalam pada itu, penyanyi lagu Cinta Sejati ini juga memanjatkan rasa syukur kerana akhirnya dia dipertemukan dengan seorang lelaki yang telah berjaya menawan dan mengisi kekosongan hatinya.

“Pada sebuah waktu, hadirlah seorang lelaki yang turut membawa rasa sakit melalui kisah hidupnya sendiri. Waktu demi waktu dilalui. Sakit mula dibahagi.

“Aku tak berasa sendiri lagi. Canda tawa kembali hadir. Aku mula merasakan yang aku layak untuk dicintai dan bahagia,” ujarnya lagi.



Menerusi video yang sama, Bunga turut berkongsi momen akad nikah bersama jejaka pilihan hatinya, Tiko Aryawardhana.

Katanya lagi, pemergian Allahyarham Ashraf akan sentiasa meninggalkan kesan yang mendalam di dalam hatinya meskipun selepas dia mendirikan rumah tangga.



“Rasa sakit itu akan selamanya ada tapi lelaki ini mengembalikan senyumanku. Dia membawaku ke suatu tempat yang saya sendiri tak berani nak impikan. Yang dipanggil rumah.

“Awak adalah kawan terbaik yang menyinari gelapku. Pasanganku yang kucintai. Terima kasih kerana membiarkan saya menjadi diri sendiri. Terima kasih kerana mencintai diri saya,” akhirinya.



Terdahulu, majlis pernikahan Bunga dan Tiko telah berlangsung secara tertutup di Bali yang hanya dihadiri keluarga dan teman terdekat.

Turut dilihat hadir di majlis tersebut termasuklah kedua ibu bapa Allahyarham Ashraf dan adiknya iparnya Aisyah Sinclair. -Media Hiburan