RAMAI yang teruja dan tidak sabar apabila trailer filem arahan Bront Palarae, ‘Dawn Raid’ mula ditayangkan sejak Jumaat lalu.

Menurut pelakon dan pengarah itu, filem adaptasi kisah benar berikut dijangka menemui penonton pada Hari Kebangsaan 2019.

Ketika dihubungi Astro AWANI, Bront Palarae atau nama sebenar, Nasrul Suhaimin Saifuddin berkata pihak produksi mahu melihat sambutan masyarakat daripada video trailer yang dikeluarkan.

“Syukur Alhamdulillah daripada sambutan yang kami lihat setakat ini, ia membawa keyakinan kepada pihak produksi dan yang terlibat dalam projek ini,” katanya.

Tambahnya, tujuan pihak produksi mengeluarkan video trailer tersebut juga adalah untuk mengumpul dana.

“Dengan menggunakan dana daripada MDEC, kami dapat berkongsi visi filem ini melalui trailer yang baru dikeluarkan bertujuan untuk mengumpul lebih dana bagi memulakan penggambaran.

“Filem yang bakal ditayangkan dalam versi dwibahasa itu akan memulakan penggambaran sejurus medapat dana,” ujarnya lagi.

Rata-rata netizen meluahkan rasa teruja dan berkongsi video trailer filem itu di media sosial, malah tontonan video tersebut mencecah lebih 10,000 di YouTube setakat hari ini.




Dawn Raid’ mengambil inspirasi dari sebuah peristiwa benar isitu kisah sekumpulan anak Melayu yang melancarkan gerakan sulit untuk mendapatkan semula tanah-tanah yang dipegang oleh Inggeris selama lebih 100 tahun.

Mereka melancarkan 'serangan' ke atas saham perladangan Guthrie di London pada waktu fajar 7 September 1981, untuk mengambil alih pemilikan itu secara mengejut.

Gerakan sulit itu turut melibatkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang disertai tindakan peranan utama lain seperti orang besar dalam Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan bekas menteri besar Selangor, Khalid Ibrahim.