KUALA LUMPUR: Sejak sekian lama, amalan sihir yang bertentangan dengan ajaran Islam masih lagi menjadi obsesi segelintir masyarakat Melayu di negara ini.

Dan sudah banyak juga naskhah atau karya yang dihasilkan dalam usaha mendidik golongan itu agar menghentikan amalan yang tidak elok.

Terbaharu, Astro bakal mempersembahkan sebuah lagi tayangan drama rantaian berjudul Sihir yang jalan ceritanya masih lagi berkisar mengenai amalan itu.

Sihir yang diterbitkan sebanyak 20 episod oleh syarikat produksi Juita Viden Sdn Bhd itu
menceritakan kisah pasangan kembar, Nuh dan Hud yang mempunyai kelebihan deria keenam.

Nuh (lakonan Kamal Adli) mempunyai kebolehan untuk melihat masa depan menerusi mimpi sementara Hud (lakonan Hun Haqeem) pula memiliki hijab yang membolehkannya melihat perkara yang ghaib dan mistik.

Astro dalam kenyataannya memberitahu, idea asal drama Sihir diilhamkan oleh pengarah prolifik Michael Ang, Syawal Azrai dan Srikandi Emma.



Naskhah itu pula digarap dengan penuh teliti oleh empat sutradara iaitu Michael Ang sendiri serta Azmir Effendi.

Sementara dua pengarah lain pelakon-pelakon utama siri Sihir iaitu Kamal Adli dan Hun Haqeem.

Manakala panel skrip pula dibarisi oleh Nadia Khan, Michelle Yoon, Rahim Ramli, Qawiem Hamizan dan Mamu Vies.

Selain Kamal Adli dan Hun Haqeem, drama Sihir turut diserikan dengan kehadiran nama-nama popular seperti Zarul Umbrella, Sharifah Shahora, Farah Ahmad, Zaryn Myn, Wan Ellyas, Fiza Thomas,Dr. Katalina, Mak Wan Latah, Dilla Ahmad serta ramai lagi.

Bakal membuka panggung malam ini, drama Sihir akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 11 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104) serta boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.



Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, pemilihan naskhah Sihir dibuat dalam usaha Astro untuk memberi pendedahan berhubung kesan amalan sihir sekali gus mendidik audiens supaya tidak sesekali terpengaruh dengan perkara khurafat.

“Penceritaan naskhah Sihir memperincikan tanda-tanda dan kerosakan akibat amalan sihir yang terpaksa ditanggung seperti kesakitan dan penderitaan daripada segi fizikal, mental atau rohani yang secara umumnya tidak dapat dikesan oleh perubatan moden yang canggih

“Walaupun kita kini sudahpun berada di zaman yang serba moden, kepercayaan dan kebergantungan segelintir masyarakat terhadap perkara khurafat yang melanggar akidah seperti sihir dan santau masih meluas dalam kehidupan seharian.

“Ini jelas dapat kita perhatikan menerusi pelbagai perkongsian yang membimbangkan terutamanya di media sosial,” kata Raqim dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Bagi Michael Ang selaku teraju utama, dia membuat keputusan mempelawa Kamal Adli dan Hun Haqeem untuk sama-sama memberi sentuhan pada drama Sihir kerana yakin dengan kebolehan mereka.

Kata Michael Ang, drama Sihir merupakan karya pertama hang menguji kemampuan kedua-dua aktor itu sebagai pengarah

“Saya mengambil keputusan untuk mengangkat kedua-dua mereka untuk duduk di kerusi pengarah setelah mendengar banyak idea segar dan cadangan kreatif mengenai babak seram yang mereka utarakan sewaktu di set penggambaran.

“Kamal juga sebenarnya mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi mengenai kamera dan gemarkan drone. Walaupun baru berjinak-jinak dengan dunia pengarahan, hasil kerja yang mereka tunjukkan agak baik.

“Mereka amat berbakat dan mempunyai potensi yang besar untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini. Berdasarkan prestasi mereka menerusi drama ini, mereka layak diberikan kredit yang sewajarnya sebagai pengarah baharu,” kata Michael Ang.



Bercerita mengenai jalan cerita Sihir pula, Michael Ang berkata, dia dan seluruh pasukan produksi berusaha menampilkan kelainan unik berbanding drama-drama lain yang pernah diterbitkan sebelum ini.

Katanya, Sihir lebih memfokuskan kepada kisah ‘bromance’ melibatkan pasangan kembar yang masing-masing mempunyai kebolehan berbeza berkaitan mistik.

Jelas Michael Ang, walaupun masih ada elemen ‘love interest’, namun ia lebih tertumpu kepada perjalanan hidup mereka dalam menyelesaikan kes sihir.



* Bermula malam ini, drama rantaian Sihir akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 11 malam di Astro Ria (saluran 104) serta boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.