Pelakon versatil, Datin Paduka Umie Aida mengakui beliau sanggup tidur dengan seekor ular selama dua bulan semata-mata untuk menjiwai watak Diana Dahlan dalam filem Dukun.

Beliau yang sememangnya tidak gemar dengan reptilia itu terpaksa melawan fobianya untuk menjiwai watak seorang perempuan yang mengamalkan ilmu hitam.

“Saya memang geli dengan ular, hanya sebab hendak hasilkan watak itu saya bela selama dua bulan untuk kaji pergerakannya, saya kaji matanya malah saya juga tidur bersamanya. Sedikit sebanyak kajian itu membantu saya membawa watak Diana Dahlan.

“Bukan itu sahaja, bayangkan kami yang terpaksa menjalani sesi penggambaran seawal jam empat pagi di Penjara Pudu. Itu memang satu pengalaman yang baru buat saya.

“Ketika sesi penggambaran di dalam penjara, saya tertanya-tanya tentang apa perasaan mereka hidup dalam penjara dan kerana satu pertanyaan, saya menggigil kerana tiba-tiba ada angin yang sangat sejuk. Kalau saya tak kuat, mungkin boleh histeria,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tayangan perdana filem Dukun di ibu negara, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata pihaknya gembira dengan kolaborasi ini.

“Selepas kita dah tengok dan nilai dan jalan cerita filem Dukun, saya pasti keputusan untuk menerbitkan filem ini merupakan satu keputusan yang betul dalam industri perfileman.

“Kami mengambil keputusan untuk menerbitkan filem ini kerana kualiti produksi yang hebat dan pasti boleh memukau penonton dengan lakonan yang mantap dari pelakon hebat dalam filem ini.

“Apa yang melambatkan penerbitan filem ini adalah faktor teknikal kerana penggambaran filem ini dilakukan 12 tahun lepas, jadi kami perlu pastikan teknikalnya tepat untuk masa ini,” ujarnya.

BACA: Filem 'Dukun' akhirnya ditayang selepas 12 tahun, ini komen pengarahnya Dain Said

Filem Dukun telah menjalani penggambaran pada 2006 mengisahkan tentang kehidupan seorang wanita yang mengamalkan ilmu hitam dan kaitannya dengan kes pembunuhan.

Karya arahan Dain Said ini turut diterjaui oleh Faizal Hussein, Namron, Adlin Aman Ramli, Elyana, Soffi Jikan dan ramai lagi dan akan ditayangkan berrmula 5 April ini di seluruh negara dan Brunei.