PETALING JAYA: Buat julung kalinya Festival Anugerah Akademi Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIFAA 2024) akan dianjurkan pada bulan Ogos ini, bagi mengiktiraf dan meraikan seni pembikinan filem dan keindahan penceritaan.

Edisi sulung itu dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 11 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan penyertaan artis dan pembuat filem dari lebih 50 negara.

Pengerusi KLIFAA, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar berkata, pelbagai acara dirancang bagi memeriahkan festival itu, antaranya tayangan filem, sesi perbincangan, forum, rangkaian kerja dan majlis penyampaian anugerah berprestij.

"KLIFAA 2024 berhasrat menjadi lebih daripada sekadar majlis anugerah, ia bertujuan menjadi platform untuk pertukaran budaya.

"Kami menyasarkan untuk mewujudkan persekitaran yang menyaksikan pembuat filem boleh mempamerkan perspektif unik mereka, dengan naratif yang pelbagai diraikan, dan kekayaan seni filem global dapat diadun bersama," katanya pada sidang media di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), disini, pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah KLIFAA 2024, Datuk Shuhaimi Baba berkata setakat ini 21 negara telah menyatakan minat untuk menghantar sekurang-kurang dua atau tiga karya terbaik dari negara mereka selain beberapa penerbit filem antarabangsa juga bersetuju untuk hadir seperti penerbit filem tersohor dari Iran, Majid Majidi.

"Kita juga mendapat maklum balas yang baik selepas berhubung dengan pejabat-pejabat kedutaan di sini untuk menghubungi komuniti filem negara mereka.

"Selain itu, kita juga menghubungi UNESCO City of Film dari United Kingdom dan Berlin, Jerman bagi menarik lebih ramai penggiat industri, artis luar negara untuk hadir," katanya.

Shuhami berkata, festival yang bertemakan 'Inspiring, Brilliance, Igniting Passion' itu akan diadili oleh juri tempatan dan antarabangsa dengan pelbagai kategori dipertandingkan antaranya filem cereka, drama televisyen, dokumentari, filem pendek dan animasi.

Untuk maklumat lanjut sila e-mel ke alamat [email protected] atau layari www.klifaa.com. - BERNAMA